
SPRM pamer RM11.4 juta barangan sita kes tender tentera…
Siapa tahu mungkin pekong kes ini jauh lebih besar dari ini.Pasti ramai yang urut dada bila melihat barangan disita SPRM setakat ini dalam siasatan perolehan kes tender Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membabitkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD).
Pada sidang akhbar di ibu pejabat SPRM hari Khamis sejumlah RM11.4 juta nilai barangan disita dalam kes berkenaan telah dipamerkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kata barangan itu disita dari dua kediaman bekas PTD itu termasuk satu di rumah rahsia yang terletak di Kuala Lumpur.
Satu lagi di sebuah rumah di Besut, Terengganu.
Bukan setakat itu sahaja malah dalam kes berkenaan sebanyak 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta turut dibekukan oleh SPRM.

Barangan yang disita itu ialah wang tunai berjumlah RM4.4 juta, mata wang asing bernilai RM1.4 juta ,sebuah kereta jenis Range Rover SVR bernilai RM360,000.”
Sebanyak 26 unit jam tangan bernilai RM2.3 juta yang kebanyakan iaitu jenama Rolex.
Barang-barang kemas bernilai RM294,039,dua cincin berlian bernilai RM20,000, jongkong emas 3.7kg yang mengikut harga semasa sekarang lebih kurang bernilai RM2.5 juta.
Menurut Azam Baki siasatan masih diteruskan dan aset yang dirampas akan digunakan sebagai bahan bukti sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut dalam tempoh terdekat.
Bekas PTD berkenaan sudah dilepaskan daripada reman SPRM pada Isnin lalu susulan penahanan tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.
Proses mendapatkan keterangan pegawai tinggi berusia 58 tahun itu sudah dilengkapkan oleh pegawai penyiasat SPRM.
Bekas PTD bersama dua isterinya ditahan oleh SPRM pada 7 Januari lalu dan keesokan harinya, dia direman selama tujuh hari, manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.
Azam Baki memberitahu SPRM akan mengesyorkan sekurang-kurangnya tiga pegawai kanan tentera dihadapkan dengan pertuduhan jenayah, susulan siasatannya terhadap dakwaan rasuah melibatkan dana dan perolehan tentera.
Setakat ini, SPRM telah menahan 23 individu berhubung kes tersebut dan merakam keterangan 30 saksi.
Azam Baki juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai suspek akan didakwa bergantung kepada timbalan pendakwa raya.- 15/1/2026



