TAHUKAH ANDA

Isu keselamatan dalam talian… MCMC jumpa X pada 21 Januari

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan pertemuan dengan platform media sosial X Rabu depan, bagi membincangkan isu keselamatan dalam talian, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Menurut Fahmi, perbincangan termasuk aplikasi kecerdasan buatan (AI) Grok, serta kebimbangan mengenai potensi penyalahgunaan Grok, terutamanya dalam menjana kandungan pornografi dan lucah yang melanggar undang-undang negara.

“Bagi Grok, kami telah mengenal pasti beberapa cara ia masih boleh disalahgunakan. Bagaimanapun, kami berharap X dapat membuat beberapa penambahbaikan untuk mengehadkan penyalahgunaan kandungan lucah yang melanggar undang-undang negara.

“Setakat ini, kami melihat X telah memberikan kerjasama yang baik dan bersikap terbuka untuk mengadakan perbincangan,” katanya, lapor Bernama.

Pada 11 Januari lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan sekatan sementara ke atas akses kepada Grok, alat kecerdasan buatan (AI) dibangunkan oleh xAI dan diintegrasikan ke dalam platform X, susulan penyalahgunaan berulang melibatkan kandungan lucah serta berbahaya.

Dalam kenyataannya, MCMC memaklumkan sekatan itu berkuat kuasa selepas X Corp. dan xAI LLC gagal melaksanakan langkah teknikal serta kawalan moderasi yang berkesan, meskipun telah diberi teguran dan notis rasmi sebelum ini.

Menurut MCMC, Grok didapati berulang kali disalahgunakan untuk menghasilkan kandungan lucah, eksplisit seksual, tidak senonoh dan keterlaluan, termasuk imej terubah suai tanpa kebenaran membabitkan wanita serta kanak-kanak.

Dalam pada itu, Fahmi berkata semua platform media sosial telah memulakan perbincangan dengan MCMC mengenai cadangan untuk mengehadkan penggunaan media sosial kepada pengguna berumur 16 tahun ke atas.

Perbincangan, katanya, kini tertumpu pada isu teknikal dan mekanisme untuk melaksanakan larangan itu, yang masih dalam semakan.

“Kami menjangkakan pelaksanaannya akan berlaku dalam beberapa bulan akan datang, tetapi tarikh sebenar akan ditentukan sebelum saya membuat sebarang pengumuman,” katanya.

Beliau juga berkata beberapa platform lain, yang pada awalnya tidak termasuk dalam kumpulan sasaran, telah menyatakan kesediaan mereka untuk terlibat secara sukarela.

“Saya merasakan bahawa ini bukan masa yang sesuai untuk menamakan platform-platform ini, tetapi saya melihat ini sebagai usaha yang baik oleh platform-platform tersebut, yang secara proaktif ingin memahami usaha kerajaan untuk memastikan ruang Internet yang lebih selamat, terutamanya untuk kanak-kanak,” kata Fahmi.-17/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button