
MCMC buka kertas siasatan dakwaan kandungan palsu titah Agong
Sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan sedang disiasat berhubung dakwaan menyiarkan kandungan palsu berkaitan titah Agong.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberitahu mereka membuka satu kertas siasatan susulan aduan orang awam terhadap kandungan dalam talian terbitan sebuah akhbar tempatan yang didakwa berunsur palsu.
Dalam satu kenyataan media pada Selasa, MCMC berkata kandungan berkenaan dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen, pada Isnin.
MCMC memaklumkan, pihak akhbar terbabit telah dipanggil ke ibu pejabat suruhanjaya itu petang ini bagi memberi keterangan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ia berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi yang berpotensi menyebabkan kekeliruan awam serta menjejaskan keharmonian masyarakat,” jelas MCMC.
Dalam pada itu, orang ramai digesa menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan melalui saluran rasmi MCMC bagi membolehkan tindakan diambil.
Aduan boleh dibuat menerusi portal aduan.mcmc.gov.my.
MCMC turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, komen melampau atau kenyataan berbentuk fitnah di media sosial, sebaliknya memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang dijalankan.-21/1/2026



