
KEMASKINI: Bekas PTD mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah RM2.12 juta
Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah berjumlah lebih RM2.12 juta di Mahkamah Sesyen, hari ini.
Muhammad Hafizuddeain membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.
Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa menerima hasil aktiviti haram iaitu wang masing-masing RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tiga cawangan bank sekitar Kuala Lumpur antara 2 Februari 2024 hingga 7 November 2025.
Pendakwaan dijalankan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) Akta sama.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai kesalahan itu atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Pagi ini, Muhammad Hafizuddiean dan isterinya, Salwani Anuar, didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan pada Khamis berhubung kes pengubahan wang haram.
Muhammad Hafizuddiean tiba di Kompleks Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 8.10 pagi manakala isterinya, Salwani tiba pada jam 8.20 pagi.
Muhammad Hafizuddiean memakai baju hitam dilihat memasuki pekarangan mahkamah dengan diiringi beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala Salwani hadir menaiki kerusi roda.
Kedua-dua mereka didakwa secara berasingan dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Menerusi Ops Parasit, SPRM pada 7 Jan lepas menahan seorang pegawai tinggi bersama dua isterinya berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat dan keesokan harinya, pegawai itu direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.
Siasatan SPRM berkaitan kes itu bermula sejak 7 Okt 2025 dan disifatkan sebagai sensitif kerana melibatkan pegawai berpangkat tinggi serta kepentingan awam.
Pada 23 Dis 2025, sepasukan pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan untuk memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak 2023.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 30 Mac ini bagi sebutan semula kes.-22/1/2026
BERITA SEBELUM INI

Dua jeneral antara tiga yang akan didakwa rasuah perolehan pertahanan
Dua bekas jeneral termasuk bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) akan di dakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis dan Jumaat.
SPRM telah memperoleh izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa tiga individu melibatkan dua pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seorang orang awam.
SPRM memberitahu individu tersebut adalah bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Hafizuddiean Jantan serta isterinya, Salwani Anuar yang akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur, Khamis.
Jelasnya, mereka masing-masing didakwa dengan empat pertuduhan setiap seorang di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“Tan Sri Hafizuddiean Jantan akan turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, Selangor pada Jumaat, 23 Januari 2026.
“Manakala, Salwani Anuar juga akan didakwa dengan satu lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin, 26 Januari 2026,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, SPRM juga telah memperoleh izin mendakwa terhadap seorang lagi bekas PAT, Tan Sri Mohd Nizam Jaafar di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada Jumaat, 23 Januari 2026.
Jelasnya, Mohd Nizam akan didakwa dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 susulan siasatan salah guna kuasa dan siasatan melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
“Siasatan terhadap dua lagi pegawai kanan ATM kini berada di peringkat akhir dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.
“SPRM menegaskan komitmen berterusan suruhanjaya ini dalam memastikan setiap kesalahan rasuah dan salah guna kuasa ditangani secara tegas, telus dan tanpa sebarang kompromi, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya lagi.-22/1/2026



