TAHUKAH ANDA

Perjanjian ART hanya dimuktamadkan selepas rundingan menyeluruh

Kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan termasuk pembangkang sebelum Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) diratifikasi secara muktamad.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata langkah itu penting bagi menangani kebimbangan, khususnya berkaitan isu kedaulatan negara.

“Perkara ini perlu dibincangkan secara terbuka dan kolektif termasuk pada peringkat Parlimen untuk memastikan kepentingan negara terus terpelihara,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Johari menjelaskan terdapat beberapa peruntukan dalam ART yang masih kabur dan berpotensi menimbulkan salah faham mengenai kedaulatan.

“Justeru, proses ratifikasi ini akan digunakan sebagai ruang untuk mentakrif semula maksud sebenar peruntukan tersebut agar ia tidak disalah tafsir atau disalah guna,” katanya.

Beliau menegaskan perjanjian itu berorientasikan ekonomi dan perdagangan, bukan politik, dengan tujuan memastikan tiada diskriminasi terhadap pelabur sedia ada.

Katanya, keputusan akhir hanya akan dibuat selepas rundingan menyeluruh termasuk melalui mekanisme perbincangan bersama.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan bahawa ART Malaysia–Amerika Syarikat yang dimeterai pada 26 Oktober lalu semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 masih belum dikuatkuasakan.

Beliau berkata kerajaan masih dalam peringkat perundingan dan mahukan jaminan bertulis yang jelas.

Menurut Anwar, penguatkuasaan peruntukan belum berlaku kerana ruang maklum balas masih terbuka dan tiada jadual tamat tempoh rundingan ditetapkan setakat ini.-22/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button