KEMBARA

AirAsia kendali hampir 4,500 penerbangan, sedia tambang subsidi RM600

AirAsia akan mengendalikan hampir 4,500 penerbangan sepanjang tempoh puncak perjalanan Tahun Baharu Cina 2026, bagi menampung peningkatan permintaan penumpang yang pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Malaysia, Dato’ Captain Fareh Mazputra berkata syarikat penerbangan tambang murah itu turut menyediakan tambang sehala bersubsidi sehingga RM600, termasuk elaun bagasi percuma 20 kilogram, bagi penerbangan terpilih dari Semenanjung Malaysia ke destinasi di Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, inisiatif tersebut selaras dengan komitmen syarikat penerbangan berkenaan dalam memastikan perjalanan yang lebih mampu milik serta akses penerbangan yang lebih luas kepada rakyat Malaysia.

“Sebagai syarikat penerbangan dengan pegangan pasaran domestik terbesar iaitu 61 peratus mengikut kapasiti, kami berbesar hati untuk terus menyokong inisiatif kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia dapat melakukan perjalanan dengan lebih mampu milik ketika musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Secara keseluruhan, sebanyak 4,434 penerbangan akan beroperasi sepanjang tempoh 12 hingga 24 Februari 2026, termasuk 150 penerbangan domestik tambahan yang disediakan bagi meningkatkan kapasiti tempat duduk serta fleksibiliti perjalanan penumpang.

Hab utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru mencatat peningkatan kekerapan penerbangan, dengan sambungan ke destinasi utama di Malaysia Timur termasuk Kota Kinabalu, Kuching, Miri, Bintulu, Sibu, Sandakan, Tawau dan Labuan.

AirAsia turut menasihatkan penumpang supaya melakukan daftar masuk kendiri secara dalam talian melalui laman web rasmi atau aplikasi AirAsia MOVE sehingga 14 hari sebelum tarikh penerbangan, selain tiba lebih awal di lapangan terbang bagi melancarkan perjalanan sepanjang tempoh puncak perayaan.-23/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button