
Majlis Media Malaysia buka mekanisme aduan rasmi
Majlis Media Malaysia (MMM), memaklumkan mekanisme aduan rasmi kini telah dibuka dan beroperasi sepenuhnya sebagai saluran berinstitusi untuk menangani isu berkaitan amalan kewartawanan, etika media dan kandungan berita secara profesional, adil serta berhemah.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan MMM, susulan Mesyuarat Lembaga yang diadakan pada 20 dan 21 Januari 2026 di Ibu Pejabat Media Prima, Bangsar, bagi menyelaraskan hala tuju strategik Majlis serta keutamaan empat jawatankuasa utama.
Menurut kenyataan tersebut, lembaga membincangkan keperluan memperkukuh kawal selia kendiri media, meningkatkan akauntabiliti profesional dan menyediakan mekanisme berinstitusi bagi mengurus aduan media, khususnya dalam suasana sensitiviti awam yang semakin meningkat terhadap kandungan berita.
MMM turut menegaskan isu berkaitan kandungan media, termasuk kes melibatkan China Press yang mencetuskan perdebatan awam baru-baru ini wajar ditangani melalui saluran profesional dan berinstitusi, bukannya melalui tekanan, intimidasi atau tindakan punitif.
Majlis itu turut mengambil maklum laporan polis yang dibuat oleh pihak tertentu, serta kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang menggesa MMM memastikan pematuhan etika kewartawanan dan mempromosikan pelaporan bertanggungjawab, khususnya dalam kalangan ahli-ahlinya.
“Peranan MMM sebagai platform kawal selia kendiri adalah untuk mengendalikan aduan berkaitan media secara profesional dan berintegriti,” menurut kenyataan itu.
Orang awam, wartawan, organisasi media dan pihak berkepentingan boleh mengemukakan sebarang aduan melalui emel aduan@majlismedia.my
atau laman web rasmi MMM.
Mekanisme ini dikendalikan di bawah Jawatankuasa Kod Tatakelakuan dan Aduan serta berfungsi sebagai saluran bebas, telus dan tidak bersifat menghukum, selaras dengan prinsip kebebasan media.
Pengerusi Jawatankuasa Kod Tata Kelakuan dan Aduan, Esther Ng berkata, MMM telah membincangkan secara menyeluruh dan bersetuju dengan mekanisme pengendalian aduan yang ditetapkan.
“Usaha tersebut membuka laluan untuk kami melaksanakan tugas secara teratur dan sistematik dengan prosedur operasi standard yang jelas. Mekanisme ini antara tanggungjawab paling penting Majlis dan perlu digerakkan dengan segera,” katanya.
MMM menegaskan perbezaan pandangan atau ketidakpuasan terhadap laporan media harus disalurkan melalui mekanisme aduan yang sah dan beretika bagi mengelakkan ketegangan yang boleh menjejaskan keselamatan wartawan, kebebasan media dan kepercayaan awam.
Selaras dengan Akta Majlis Media Malaysia, organisasi media yang menjadi ahli MMM turut dikehendaki mewujudkan mekanisme aduan dalaman masing-masing.
Bagaimanapun, dalam tempoh interim, aduan berkaitan media masih boleh dikemukakan terus kepada MMM melalui saluran yang disediakan.-23/1/2026



