YANG VIRAL

Integriti teras kepercayaan rakyat terhadap ATM

Kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara tidak boleh dibina dengan slogan semata-mata, sebaliknya mesti diperkukuh melalui profesionalisme, akauntabiliti dan integriti yang tegas serta konsisten dalam setiap lapisan pentadbiran dan operasi, demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menerusi hantaran Facebook, menegaskan perkara itu ketika menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat yang baharu, Jeneral Datuk Azhan Md Othman, bagi membincangkan peranan strategik Tentera Darat sebagai benteng pertahanan negara serta sandaran harapan seluruh rakyat.

“Dalam konteks cabaran semasa, termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah yang boleh mencalar imej institusi, saya menekankan bahawa tiada kompromi terhadap pelanggaran amanah lantas menuntut ketelusan, kejujuran dan keberanian untuk membersihkan kelemahan demi memelihara maruah Angkatan Tentera Malaysia.

“Kerajaan MADANI akan terus mendukung usaha Tentera Darat untuk kekal sebagai pasukan yang berwibawa, profesional dan disegani, di samping memastikan kebajikan pegawai, anggota, keluarga serta para veteran sentiasa diberi perhatian sewajarnya,” menurut hantaran itu.

Jeneral Datuk Azhan Md Othman secara rasmi dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) ke-31 berkuat kuasa 1 Januari 2026, dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Pelantikan itu selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera ke-631 dan Majlis Pemakaian Pangkat telah disempurnakan di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur.-30/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button