
Tawaran Sunway dibuat sama rata kepada semua pemegang saham IJM Corp
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof memaklumkan tawaran pengambilalihan oleh Sunway Berhad terhadap IJM Corporation Bhd (IJM Corp) dibuat secara sama rata kepada semua pemegang saham.
Jelas beliau perkara itu tidak melibatkan sebarang rundingan khas dengan mana-mana pihak tertentu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan transaksi pelaburan bernilai berbilion ringgit yang dikaitkan dengan IJM Corp dan Sunway Bhd.
“Tawaran oleh Sunway Berhad merupakan satu Tawaran Am Sukarela (Voluntary General Offer), iaitu tawaran yang dibuat secara sama rata kepada semua pemegang saham IJM Corporation.
“Tawaran Am Sukarela ini bukan urus niaga yang dirundingkan dengan mana-mana pemegang saham tertentu dan bukan tawaran yang disasarkan kepada PNB atau mana-mana institusi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu ketika penggulungan Titah Diraja bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, pihak lain yang berminat juga boleh mengemukakan tawaran alternatif yang kompetitif.
“PNB sebagai salah satu pemegang saham IJM, hanyalah penerima tawaran, dalam kedudukan yang sama seperti semua pemegang saham lain.
“PNB juga akan menilai tawaran tersebut dengan mengambil kira aspek komersial seperti nilai tawaran berbanding nilai intrinsik, keuntungan pelaburan, dan pelan strategik Sunway selepas pengambilalihan,” tambahnya lagi.
Menurutnya tawaran daripada Sunway hanya akan berjaya jika lebih daripada 50 peratus pemegang saham IJM menerima tawaran tersebut dan dengan pegangan kurang daripada 13.5 peratus.
“PNB tidak dapat mempengaruhi samada tawaran Sunway akan berjaya atau tidak,” katanya.-5/2/2026



