
Isa Samad ke penjara… jalani hukuman enam tahun mulai hari ini
Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad akan dibawa ke Penjara Sungai Buloh untuk menjalani hukuman penjara selama enam tahun, mulai hari ini.
Beliau ditetapkan bersalah atas sembilan kes rasuah RM3.09 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak semasa menjadi Pengerusi FELDA 12 tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusi Datuk Nordin Hassan bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali membuat keputusan itu secara sebulat suara bagi permohonan rayuan pendakwaan.
Sabitan bersalah dan hukuman penjara serta denda RM15.45 juta yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berusia 77 tahun itu dikembalikan semula selepas pihak pendakwaan merayu kepada mahkamah supaya panel hakim mengetepikan keputusan pembebasan Mohd Isa oleh Mahkamah Rayuan.
Ini bermakna Mohd Isa akan terus dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman tanpa penangguhan, pada awalnya media yang membuat liputan di mahkamah dimaklumkan bahawa Mohd Isa akan dibawa ke Penjara Kajang namun diberitahu kemudian akan dibawa ke Penjara Sungai Buloh.
Sebelum ini media melaporkan pada 3 Februari 2021, Mohd Isa yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dihukum penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan.
Bagaimanapun, semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan berkuat kuasa selama enam tahun.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Pada 6 Mac 2024, Mohd Isa dilepas dan dibebaskan selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan sabitan serta hukuman berkenaan.
Panel yang dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, kini Hakim Mahkamah Persekutuan bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan tertuduh.
Susulan keputusan berkenaan, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan pada 7 Mac 2024 dan petisyen rayuan pada 26 Jun tahun sama dengan mengemukakan 24 alasan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.
Semasa prosiding mahkamah diberitahu suapan itu merupakan ganjaran atas peranannya memudahkan kelulusan Felda Investment Corporation Sdn Bhd bagi pembelian hotel pada harga RM160 juta.
Mohd Isa didakwa pada 2018 atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) ketika itu, Ikhwan Zaidel sebagai balasan meluluskan pembelian MPHS oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.-10/2/2026



