TAHUKAH ANDA

Kes tibi… jangkitan di Selangor tertinggi di seluruh negara

Sebanyak 10 kluster baharu kes jangkitan tuberkulosis (tibi) direkodkan di seluruh negara sehingga 7 Februari lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Selangor tertinggi berbanding negeri lain dengan empat kluster melibatkan 10 kes.

“Selangor mencatatkan empat kluster (10 kes), diikuti Johor satu kluster dengan 37 kes, Kedah, Kelantan dan Perlis masing-masing satu kluster, Pahang satu kluster (empat kes) serta Sabah satu kluster melibatkan lima kes,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang ingin tahu apakah status terkini kluster tibi mengikut negeri serta jumlah kes aktif yang masih dipantau.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, sebanyak 254 kes penyakit tuberkulosis (tibi) direkodkan di seluruh negara pada tahun lalu, melibatkan 88 kluster.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 35 kluster masih berstatus aktif, dengan Selangor mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 13 kluster melibatkan 37 kes.

“Negeri lain yang turut merekodkan kluster aktif ialah Kedah dengan enam kluster (13 kes), Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya masing-masing lima kluster, Johor tiga kluster, Kelantan dua kluster dan Terengganu satu kluster.

Menurut Dr Dzulkefly, bagi institusi berisiko tinggi seperti sekolah berasrama, penjara dan asrama pekerja, langkah saringan dilaksanakan berdasarkan Manual Tuberculosis Information System (TBIS 2018) yang merangkumi pengenalpastian, penilaian dan pemeriksaan kontak.

“Saringan ini melibatkan pemeriksaan simptom seperti batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan dan susut berat badan, selain pemeriksaan klinikal dan x-ray paru-paru serta pemeriksaan kahak melalui mikroskopi dan kultur,” jelasnya.

Beliau menegaskan, langkah kawalan bagi mengekang penularan tibi dilaksanakan dengan memastikan pesakit yang disahkan menghidap penyakit itu diberikan rawatan awal anti-TB, manakala kontak rapat yang tidak dijangkiti akan disaring.-10/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button