FOKUS

Sultan Sharafuddin tak perkenan ternak babi di Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini.

Aktiviti itu, titah baginda, boleh menyebabkan pencemaran udara dengan mengeluarkan bau yang busuk serta boleh mencemarkan sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan baginda turut menyambut baik ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak bersetuju penternakan babi dibuat di kawasan dibantah penduduk tempatan dan yang boleh menimbulkan kontroversi serta tidak perlu melaksanakan aktiviti itu jika tiada kawasan bersesuaian, khususnya di Selangor.

“Sebagai contoh, cadangan penternakan babi di Bukit Tagar di daerah Hulu Selangor yang juga kawasan pendudukan orang Melayu dan kawasan FELDA, pastinya menerima bantahan daripada penduduk Melayu di kawasan tersebut dan persekitarannya.

“Ia juga boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan juga sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” menurut kenyataan itu.

Mohamad Munir berkata, walaupun pencemaran udara dan sungai boleh diatasi dengan kaedah penternakan moden, ia memerlukan perbelanjaan besar dan tidak mungkin mampu dibiayai mana-mana pihak yang menternak hanya untuk bekalan daging babi di negeri ini.

“Tiada jaminan bahawa penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca air bersih kepada penduduk di Lembah Klang. Selain itu, penternakan babi berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di Selangor kerana sumber tanah terhad.

“Ini ditambah pula dengan faktor nilai hartanah tinggi yang sewajarnya digunakan untuk tujuan yang lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat. Justeru, baginda menyarankan agar pihak kerajaan dapat memberi lesen untuk pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam, khususnya kaum Cina di Selangor sahaja.

“Dengan kaedah ini, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang sudah lama berlaku, malah dalam masa yang sama, kerajaan negeri boleh mengoptimumkan penggunaan tanah bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan,” katanya.

Sultan Selangor juga menegaskan agar isu penternakan babi dapat dihenti dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak dan menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.

Mohamad Munir mengajak semua pihak untuk menghormati titah baginda dan bersama-sama menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat di negeri ini.-10/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button