YANG VIRAL

Usaha kerajaan MADANI perangi rasuah bawa lonjakan CPI

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia melonjak ke tangga ke-54, sekali gus mencerminkan keberkesanan usaha Kerajaan MADANI dalam memerangi rasuah secara sistemik serta membetulkan kelemahan struktur tadbir urus negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu didorong antaranya oleh tindakan penguatkuasaan tegas agensi-agensi utama termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Ia termasuk kejayaan memulihkan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui rampasan aset, dana dan pembanterasan sindiket rasuah serta ketirisan yang telah lama menjejaskan kewangan awam.

“Kerajaan MADANI juga tidak berkompromi apabila integriti institusi strategik dipersoalkan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Datuk Seri Anwar berkata, tindakan tegas terhadap salah laku dan penyelewengan dalam sektor pertahanan, selain pembongkaran kartel serta rasuah berprofil tinggi, menegaskan prinsip bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang.

Beliau turut mengingatkan bahawa pencapaian berkenaan bukan noktah, sebaliknya menjadi peringatan untuk menggandakan usaha memerangi rasuah secara konsisten dan berani, demi memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan amanah negara terus dipertahankan.-11/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button