
Dengar dulu penjelasan Azam Baki – PM
Semua pihak perlu mengambilkira penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung dakwaan pemilikan saham syarikat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, rakyat harus membaca dan memahami penjelasan Azam sebelum membuat sebarang tuduhan atau spekulasi.
“Orang buat kerja nak pecat mengapa, nak suruh ambil perasuah jaga. Dengar penjelasan dia (Azam Baki). Dia buat kerja, buat apa maki dia” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) di sini.

Terbaharu, Tan Sri Azam Baki menegaskan, beliau tidak memiliki sebarang saham dalam mana-mana syarikat sejak Julai tahun lalu.
Beliau juga memaklumkan bahawa akan mengemukakan surat tuntutan terhadap sebuah media susulan laporan berita berkaitan pemilikan saham membabitkan dirinya.
Sementara itu, Anwar menjelaskan Malaysia berada pada landasan yang betul dengan mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik, inflasi rendah serta pelaburan yang tinggi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sehubungan itu, pelbagai pihak perlu bekerjasama untuk terus mengukuhkan ekonomi negara, berpaksikan politik yang stabil serta negara yang aman.
“Bagi mengangkat Malaysia menjadi negara maju dari segi ekonomi…digital, maka rakyat dan peniaga juga perlu dinamik untuk melakukan beberapa anjakan (memajukan ekonomi),” katanya.
Beliau berkata kerajaan akan melaksanakan beberapa pendekatan seperti bantuan kepada syarikat serta perusahaan kecil dan sederhana untuk membantu melonjakkan perniagaan mereka di negara ini.
Perdana Menteri berkata pimpinan kerajaan turut mendengar setiap permasalahan yang diutarakan rakyat seperti isu komitmen kerajaan dalam pembayaran balik cukai terlebih bayar.-12/2/2026



