FOKUS

Ini kenyataan media SPRM pasal laporan Bloomberg mengenainya…

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis mengeluarkan satu kenyataan menolak laporan yang diterbitkan oleh sebuah media antarabangsa,Bloomberg terhadap agensi berkenaan.

Ia menyifatkan laporan itu mengandungi tohmahan dan dakwaan-dakwaan tidak berasas dan berniat jahat untuk mencemarkan nama baik dan reputasi SPRM.

Berikut ialah kenyataan penuh :

SPRM MENOLAK DAKWAAN TIDAK BERASAS, MENEGASKAN KOMITMEN TERHADAP PROSES UNDANG-UNDANG

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil maklum satu laporan yang diterbitkan oleh sebuah media antarabangsa yang mengandungi tohmahan dan dakwaan-dakwaan tidak berasas dan berniat jahat untuk mencemarkan nama baik dan reputasi SPRM.

SPRM ingin menegaskan bahawa Suruhanjaya ini tidak akan mengulas dakwaan yang berunsur tohmahan dan bersifat spekulatif, serta melibatkan perkara yang masih dalam pertimbangan mahkamah (sub judice) atau tertakluk kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

Sebarang dakwaan atau andaian bahawa siasatan SPRM dipengaruhi oleh kepentingan peribadi adalah ditolak sama sekali. Semua siasatan yang dijalankan oleh SPRM dilaksanakan dengan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang, berpandukan kepada bukti, serta dijalankan secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Sebarang keputusan berkaitan pendakwaan adalah tertakluk kepada budi bicara pendakwaan dan kuasa kehakiman oleh Jabatan Peguam Negara serta sistem kehakiman, selaras dengan kerangka perundangan Malaysia yang berasaskan prinsip pengasingan kuasa.

Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan, fungsi dan peranan SPRM dikuatkuasakan oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, serta tertakluk kepada pemantauan oleh lima (5) badan pemantau bebas.

Sebarang dakwaan salah laku tidak boleh diadili melalui naratif media, sebaliknya dinilai melalui sistem perundangan dan proses keadilan yang telah ditetapkan.

SPRM menegaskan bahawa mana-mana individu atau pihak yang mempunyai bukti yang berasas dan sahih berkaitan rasuah atau salah laku adalah digesa untuk menyalurkan maklumat tersebut melalui saluran yang sewajarnya bagi membolehkan penilaian dan tindakan diambil selaras dengan undang-undang.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)
PUTRAJAYA
12 FEBRUARI 2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button