
Rundingan Awam Pelan Keselamatan Dalam Talian bermula hari ini – MCMC
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memulakan Rundingan Awam berhubung cadangan kerangka kawal selia bagi Pelan Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Plan).
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, ia termasuk draf Kod Pengurangan Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
Menurut MCMC, kerangka kawal selia dan draf kod yang dicadangkan bertujuan mempertingkatkan keupayaan platform dalam talian mengurus risiko keselamatan, dengan penekanan khusus terhadap perlindungan kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan.
“Kerangka kawal selia dan draf kod tersebut menetapkan keperluan yang jelas kepada penyedia perkhidmatan untuk mengambil langkah munasabah dan berkesan bagi mengurangkan kemudaratan dalam talian secara praktikal.
“Melalui Rundingan Awam ini, MCMC membuka ruang kepada orang awam untuk bersama-sama membentuk ekosistem dalam talian yang lebih selamat, termasuk mendapatkan pandangan berhubung keberkesanan dan kebolehlaksanaan langkah- langkah untuk meningkatkan tahap perlindungan keselamatan dalam talian,” jelas MCMC.
MCMC menambah, orang awam, pemain industri, organisasi masyarakat sivil serta pihak berkepentingan dialu-alukan untuk meneliti dokumen rundingan dan mengemukakan maklum balas.
Menurut MCMC, orang awam dijemput untuk meneliti dokumen rundingan dan mengemukakan maklum balas bertulis kepada MCMC, sama ada secara fizikal atau dalam bentuk elektronik, selewat-lewatnya pukul 5 petang pada 13 Mac ini.-13/2/2026



