
Mas Ermieyati pula angkat kaki dari Bersatu…juga heboh tindakan bubar bahagian sana sini
Lepas seorang ke seorang kalangan pemimpin berpengaruh angkat kaki dari parti Bersatu sejak Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin dipecat pada 13 Februari.
Terbaru pada hari ini Ketua Wanita Bersatu yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah,Melaka Datuk Mas Ermieyati Samsudin umum peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah.
Peletakan jawatan itu dibuat bersama 39 lagi ahli jawatankuasa bahagian berkenaan atas faktor kehilangan kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu.
Tindakan Mas Ermieyati ini tidaklah mengejutkan kerana sudah dijangka.
Pada Sabtu lalu, ahli Parlimen Masjid Tanah itu hadir ke majlis ‘reset’ politik bagi menyokong Hamzah Zainudin.
Seramai 18 dari 25 Ahli Parlimen Bersatu kini didakwa menyokong bekas Timbalan Presiden itu.
Faktor ini dikatakan mencetus tekanan hebat kepada keutuhan Bersatu yang masih dipimpin Muhyiddin.
Sebelum ini antara pemimpin berpengaruh yang bertindak letak jawatan ialah Tan Sri Rahim Thamby Chik,Tan Sri Noh Omar dan Tan Sri Rais Yatim.
Dalam pada itu bekas Setiausaha Bahagian Masjid Tanah , Shahrul Azhar Amir beritahu menerusi satu kenyataan dengan perletakan jawatan secara beramai-ramai termasuk Mas Ermieyati maka Jawatankuasa Bersatu Bahagian Masjid Tanah terbubar secara rasmi.
Pada Rabu, Ketua Bahagian Bersatu Pontian,Johor Isa Ab Hamid, dilaporkan mendakwa 11 bahagian Bersatu negeri itu tidak dapat berfungsi selepas majoriti ahli jawatankuasa meletakkan jawatan.
Menurut beliau, keputusan sebulat suara itu menyebabkan bahagian terlibat tidak dapat menjalankan sebarang mesyuarat sekali gus menyaksikan pembubaran berlaku secara tidak langsung.
Sebelas bahagian yang didakwa terlibat ialah Labis, Mersing, Johor Bahru, Pulai, Pontian, Simpang Renggam, Pengerang, Tanjung Piai, Sri Gading, Ledang dan Sembrong.
Selain itu, pemimpin termasuk jawatankuasa tiga bahagian di Perak turut mengumumkan peletakan jawatan susulan pemecatan Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Presiden parti itu.
Mereka adalah Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Malim, Mohd Amran Ibrahim; Ketua Bersatu Bahagian Bukit Gantang, Ahmad Man dan Ketua Bersatu Bahagian Bagan Serai, Ismail Ali.
Mereka mendakwa peletakan jawatan mereka turut membabitkan kesemua ahli jawatankuasa bahagian berkenaan.
Satu Bahagian Bersatu di Sarawak iaitu Bintulu juga mengikuti jejak mereka, sekali gus menjadi bahagian pertama di negeri itu meninggalkan parti beramai-ramai.
Duke Janteng yang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Bintulu, berkata seramai 110 ahli termasuk kepimpinan bahagian, ketua cawangan, sayap wanita dan pemuda memilih untuk berundur serta memutuskan hubungan dengan parti.
Langkah pembubaran juga didakwa berlaku di Lembah Pantai, Larut, Kepala Batas, Padang Rengas dan Tanjong.
Namun Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali menolak dakwaan tentang tindakan pembubaran bahagian.
Tegasnya perlembagaan parti tidak beri kuasa pada mana-mana ahli termasuk Ketua Bahagian bubarkan sesuatu bahagian.- 19/2/2026



