Kata dikota..seperti dijanjikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Ia dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau antara lain beritahu bacaan kali kedua dijangka berlangsung pada minggu depan.
Berdasarkan naskhah biru, Rang Undang-Undang (RUU) itu bertujuan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu Azalina menjelaskan Anwar masih boleh terus menjawat jawatan itu sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), sekali gus membolehkan beliau berkhidmat dengan baki tempoh tujuh tahun lagi.
Menurutnya, selepas tamat tempoh 10 tahun, pemimpin itu tidak boleh lagi dilantik ke jawatan tersebut.
Kata Azalina, RUU itu memperuntukkan tahun perkhidmatan bagi mana-mana Perdana Menteri dan bukan ditentukan berdasar tempoh penggal Parlimen.
“Siapa mahu jadi Perdana Menteri, dia tak boleh lebih dari 10 tahun. Jadi yang mana kita buat dalam pindaan Perlembagaan ini, dia juga (ambil) kira kepada tahun-tahun dia sudah berkhidmat sebagai Perdana Menteri.
“Maknanya juga, ia dikira ke belakang…jadi Perdana Menteri yang ada hari ni, kalau katakan PMX (Anwar), dia menang lagi PRU16, dia nak jadi Perdana Menteri sekali lagi, boleh. Tapi kalau dikira dari tahun, dia tinggal tujuh tahun saja, bukannya mahu bagi dia 10 tahun lagi, tidak.
“Mungkin Tan Sri Muhyiddin Yasin kalau jadi Perdana Menteri lagi sebab dia menang, mungkin dia tinggal lapan tahun. Kemudian, Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mungkin tinggal sembilan tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi taklimat mengenai RUU pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri, hari ini.
Sesi itu dihadiri ahli-ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang.
Dalam pada itu, Azalina berkata pindaan dalam RUU itu selaras janji manifesto PRU lalu.
“Perlembagaan boleh dipinda. Kerajaan seterusnya yang mempunyai majoriti dua pertiga boleh meminda undang-undang. Malah tempoh jawatan juga boleh diubah semula dan mereka boleh buat jika mahu Perdana Menteri pada hari ini kekal selama-lamanya.
“Jika kamu mempunyai undi sokongan dua pertiga atau lebih di Parlimen, kamu boleh melakukan apa sahaja terhadap Perlembagaan. Apa kita lakukan, kerajaan ini bersama rakan-rakan gabungan sedang membawa kepada rakyat apa yang kita janjikan dalam manifesto PRU ke-15 lalu.
“Dalam manifesto, ada parti mencadangkan dua penggal, ada parti yang mencadangkan sepuluh tahun. Jadi pada asasnya, kerajaan sedang melaksanakan apa yang sudah dijanjikan atau terkandung dalam manifesto. Tetapi, kerajaan seterusnya dengan majoriti baru, masih boleh mengubahnya. Itu sememangnya prerogatif mereka,” katanya. – 23/2/2026

Cadangan had jawatan PM 10 tahun jalan terus…ia bermula dengan sayalah,kata Anwar
Apa yang pasti tidak ada ‘koner baring’ pada cadangan pindaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun yang akan dikemukakan untuk kelulusan Parlimen tidak lama lagi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hari ini cadangan berkenaan akan terpakai untuk dirinya terlebih dahulu.
Katanya beliau tidak akan membuat undang-undang untuk orang lain.
“Ia bermula dengan sayalah. Saya tidak akan membuat undang-undang untuk orang lain. Undang-undang itu mesti terpakai kepada saya dahulu,” katanya.
Anwar berkata tempoh 10 tahun itu memadai untuk seorang Perdana Menteri menjalankan amanah dan melepaskan jawatan itu kepada calon lain.
Beliau menyatakan demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah di Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat.
“Saya ingat sesiapa yang mahu berkhidmat dengan ikhlas kepada negara, 10 tahun itu cukup…memadai untuk dia lakukan sebaiknya dan selepas itu sepatutnya dia sedia melepaskan untuk rakan-rakan yang lain meneruskan khidmat. Itu pandangan kita,” katanya.
Menurutnya, jika mendapat sokongan, pindaan itu akan diluluskan pada sidang Parlimen akan datang.
“Kita minta segerakan dan kalau ada konsensus, majoriti ahli Parlimen, kita boleh luluskan dalam sidang akan datang,” katanya.
Pada Mac tahun lepas, Anwar semasa mempengerusikan mesyuarat Kabinet mengarahkan agar cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dikaji secara teliti dan mendalam.
Manakala pada 5 Januari lalu, Perdana Menteri semasa Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri berkata rang undang-undang bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh, antara empat perundangan baharu yang akan dibentangkan sebagai hala tuju Parlimen tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said menerusi satu kenyataan baru-baru ini beritahu kerajaan bersetuju dengan cadangan dasar pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun sebagai langkah penting bagi memperkukuh prinsip akauntabiliti, semak dan imbang serta tadbir urus berteraskan Perlembagaan Persekutuan di bawah agenda reformasi institusi Kerajaan Madani.
Kaanya keputusan itu dicapai pada mesyuarat jemaah menteri semalam ( 30 Januari) selepas penelitian menyeluruh dibuat terhadap input dasar, pandangan awam serta syor yang dikemukakan menerusi sesi libat urus holistik dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.
“Cadangan pengehadan tempoh jawatan ini bertujuan mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan, memperkukuh sistem demokrasi serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan negara, selaras dengan amalan demokrasi matang pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Kebelakangan ini antara negara yang amal hadkan tempoh jawatan pemimpin nombor satu negara ialah Amerika dan Indonesia.
Di Malaysia setakat ini Tun Dr Mahathir Mohamad pegang rekod paling lama sebagai Perdana Menteri yakni 22 tahun. – 20/2/2026

