FOKUS

Kerajaan kecam perbuatan muatnaik gambar pijak al-Quran…Fahmi arah MCMC bertindak segera

Kerajaan mengecam sekeras-kerasnya insiden melibatkan individu yang memuat naik kandungan memijak al-Quran di platform media sosial Threads menggunakan nama akaun ryandaselva.

Jurucakap kerajaan DatukFahmi Fadzil menegaskan perbuatan tersebut merupakan tindakan biadab, menghina agama Islam serta mencabar sensitiviti dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Saya telah mengarahkan siasatan dan tindakan segera oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,”katanya yang`juga Menteri Komunikasi menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau pada masa sama, MCMC akan menyelaras bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan yang menyeluruh dan tanpa kompromi, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Sebarang perlakuan menyentuh sensitiviti agama dan mengancam ketenteraman awam tidak boleh diterima sama sekali,”katanya.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan seorang pengguna Threads memuat naik gambar memijak al-Quran sehingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam.

Individu berkenaan yang didakwa merupakan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kemudiannya tampil memohon maaf atas tindakannya memuat naik gambar tersebut.

Sementara itu Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dilaporkan berkata pelajar UMPSA yang disyaki melakukan perbuatan itu telah ditahan.

Menurut beliau, pihaknya akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas lelaki itu hari ini.

“Polis sudah menahan penuntut disyaki menghina Islam untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama lain dengan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun dan denda.

Lelaki tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menghantar komunikasi bersifat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain termasuk kandungan jelik.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga setahun dan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.- 25/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button