YANG VIRAL

Tak sampai 24 jam… polis tahan suspek cubaan bunuh komander AKPS

Pantas… tak sampai 24 jam kejadian yang hampir beragut nyawa komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam semalam, polis sudah menahan suspek yang melepaskan tembakan tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ketika ini proses soal siasat sedang dijalankan.

“Kita sudah buat tangkapan tak sampai 24 jam. Sekarang sedang berlaku proses soal siasat,” katanya tanpa memperincikan jumlah tangkapan dibuat.

Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi semalam, dua lelaki bermotosikal menghampiri kereta Proton X70 dipandu Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir ke masjid untuk menunaikan solat Subuh dan melepaskan beberapa das tembakan.

Nasaruddin dilantik sebagai Komander AKPS Bukit Kayu Hitam pada Januari 2025.

Sebelum ini beliau berkhidmat sebagai ketua staf Pasukan Petugas Khas Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

Polis percaya serangan itu untuk menakutkan pasukan penguat kuasa yang aktif melakukan operasi di sempadan.

AKPS dalam kenyataan pada Rabu menegaskan sebarang bentuk ancaman, ugutan atau serangan terhadap petugas keselamatan negara adalah satu perbuatan jenayah yang tidak boleh diterima.

Menurut AKPS, insıden itu sama sekalı tıdak akan melemahkan semangat warga AKPS.

Sebaliknya, ia akan terus memperkukuh iltizam seluruh pegawai dan anggota untuk terus berdiri teguh, berani dan profesional dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan sempadan negara.

“AKPS akan terus memastikan setiap pintu masuk negara kekal selamat, terkawal dan berdaulat, serta tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang ancaman yang cuba menggugat keselamatan, keamanan dan kedaulatan tanah air,” jelas AKPS.-26/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button