
Rakyat Malaysia di Iran enggan pulang tandatangani surat persetujuan tanggung risiko
Kementerian Luar memaklumkan seramai 13 orang rakyat Malaysia di Iran yang enggan pulang ke tanah air telah diminta menandatangani surat indemniti.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata menerusi surat berkenaan, mereka tidak boleh menyalahkan Kerajaan Malaysia sekiranya berlaku perkara di luar jangka berikutan situasi meruncing di negara itu.
Jelas Mohamad, antara yang menandatangani surat itu termasuk dua pelajar Malaysia yang sebelumnya telah dinasihatkan supaya pulang ke tanah air.
“(Nasihat) serupa kita berikan ketika Amerika Syarikat (AS) mengebom loji – loji nuklear di Iran pada tahun lepas (namun) ada yang tak nak balik.
“Pada masa sama, saya hendak nasihatkan rakyat Malaysia jangan pergi sana kalau tidak ada urusan penting, kita sudah dua kali keluarkan nasihat perjalanan tapi rakyat Malaysia degil (kerana) ada juga yang pergi (baru – baru ini).
“Jangan pergi sana kerana apa jua kemungkinan akan berlaku, akan menyusahkan kita, (seperti) tahun lepas kita buat evakuasi, mereka terpaksa lalui jalan darat sejauh 1,200 kilometer (km) dari Tehran ke Ashgabat, Turkmenistan,” katanya pada Waktu – Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (Perikatan Nasional -Ketereh) yang ingin tahu jumlah rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu serta pelan pemindahan kecemasan sekiranya perperangan tercetus di sana.
Kepada soalan asal Khlir yang ingin tahu penilaian Wisma Putra tentang kemungkinan berlakunya konflik bersenjata antara Iran dengan AS serta implikasi terhadap keselamatan serantau, Mohamad berkata, Malaysia berharap kedua-dua pihak akan terus menjalin diplomasi di meja rundingan.
” Kita berharap supaya kekecohan dapat dikurangkan dan dunia tidak akan terjejas,” katanya.
Sementara itu beliau turut memaklumkan AS ketika ini dilihat sedang meningkatkan jumlah aset perangnya di rantau berkenaan.
“Ini termasuk mengerahkan kapal pengangkut Gerald R. Ford ke Laut Parsi baru – baru ini. Perkembangan ini jelas menunjukkan Amerika serius dengan apa yang mereka nyatakan supaya Iran membatalkan segala hasrat untuk mewujudkan senjata nuklear,” katanya.-26/2/2026



