SUARA PEMBACA

Mahkamah tolak permohonan PETROS… PETRONAS 1- PETROS 0

Mahkamah Tinggi Kuching menolak permohonan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) untuk mendapatkan semula jaminan bank berjumlah RM7.95 juta daripada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Hakim Datuk Faridz Gohim Abdullah dalam prosiding hari ini memutuskan bahawa tuntutan itu tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Faridz dalam penghakimannya, menegaskan isu yang perlu diputuskan hanya terhad kepada persoalan sama ada tuntutan terhadap jaminan bank itu tidak sah atau menyalahi undang-undang seperti dinyatakan dalam Notis Usul (OS) difailkan PETROS.

Beliau berkata, tuntutan PETRONAS ke atas jaminan bank itu sah kerana selaras dengan terma jaminan bank yang bersifat ‘on-demand’ dan tanpa syarat serta tidak tertakluk kepada sebarang syarat, sekali gus membolehkan ia dituntut melalui permintaan bertulis.

Mahkamah turut mengambil kira bahawa wang jaminan bank itu sudah diterima dan digunakan, menjadikan permohonan injunksi untuk menghalang tuntutan itu tidak lagi praktikal.

Menurutnya lagi, PETROS tidak memohon sebarang deklarasi untuk mencabar kesahihan Perjanjian Jual Beli Gas (SGSA) atau memohon pengisytiharan bahawa Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) terpakai ke atas PETRONAS sehingga memerlukan lesen negeri.

Beliau turut memutuskan bahawa jaminan bank berkenaan adalah jaminan tanpa syarat dan boleh dituntut atas permintaan bertulis, tanpa perlu membuktikan pelanggaran kontrak terlebih dahulu.

Pada prosiding hari ini, PETROS diwakili Tan Sri Cecil Abraham, Sim Hui Chuang, Lim Lip Tze dan Rosalie Tien, manakala PETRONAS diwakili Datuk Cyrus Das, Khoo Guan Huat serta Alex Ngu Sze Sha.

Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung bertindak sebagai pemerhati bagi pihak kerajaan Sarawak.

Ketika ditemui di lobi mahkamah, Fong berkata, isu perlembagaan akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan kerana Mahkamah Tinggi hanya membuat keputusan bersifat komersial dan tidak menilai isu perlembagaan.

Menurutnya, perkara itu akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan pada 16 Mac 2026 dengan kemungkinan tarikh tambahan akan ditetapkan kemudian.

Sementara itu, Cyrus berkata PETROS turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM50,000 selepas gagal membuktikan bahawa tuntutan itu bersifat tidak berpatutan atau menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, mahkamah berpendapat isu perlembagaan berada di luar skop saman pemula dan perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Justeru katanya, persoalan mengenai kesahihan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) akan dibawa ke peringkat lebih tinggi.

“PETRONAS dijadual memohon kebenaran pada 16 Mac depan, manakala Kerajaan Sarawak turut memfailkan petisyen tersendiri,” katanya.-26/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button