
Pemilihan UMNO tahun ini ditangguh untuk beri tumpuan persiapan hadapi pilihanraya
Keputusan ini sudah diduga.Untuk mengelak parti ‘hilang tumpuan’ UMNO menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan tahun ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kata keputusan itu dibuat sebulat suara dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung, hari ini.
Beliau jelaskan keputusan berkenaan adalah bagi memberi tumpuan penuh kepada persiapan jentera menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang boleh diadakan pada bila-bila masa bermula tahun ini.
Menurut Dr Asyraf pemilihan UMNO yang ditangguhkan itu wajib diadakan pada tarikh tidak boleh melebihi enam bulan selepas PRU16.
“Tarikh tidak boleh melebihi enam bulan selepas PRU-16 selaras dengan peruntukan Perlembagaan UMNO di bawah Fasal 10.16, Fasal 10.16.1 dan Fasal 10.16.2,” katanya.
Asyraf Wajdi turut memaklumkan mesyuarat sudah memperincikan beberapa ketetapan penting termasuk penetapan tarikh persidangan tahunan di semua peringkat parti bagi 2026.
Katanya, Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan akan berlangsung dari 1 April hingga 17 Mei ini, manakala Mesyuarat Perwakilan Bahagian diadakan pada 1 Jun hingga 12 Julai akan datang.
“Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU2026) pula dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 16 Ogos depan,” katanya.-26/2/2026



