Surat tunjuk sebab dikeluarkan kerana Rafizi seakan hilang kepercayaan terhadap parti

Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli diberikan Surat Tunjuk Sebab berikutan tindakan beliau seakan-akan telah hilang kepercayaan terhadap parti, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh.

Beliau berkata ia juga susulan kenyataan Rafizi bahawa beliau tidak mahu keluar parti pada masa ini kerana ia akan mencetuskan Akta Lompat Parti.

“Ya surat itu dikeluarkan dengan Fasal 9(1)(C) dalam Perlembagaan PKR, iaitu Fasal 9(1) berkenaan dengan pelucutan keanggotaan dan C pula berkenaan dengan pengisytiharan anggota itu sendiri bahawa beliau keluar parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Bazar Ramadan Rahmah di Bazar Ramadan Raja Alang Kampung Baru di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Fuziah dilaporkan berkata Rafizi diberi tempoh sehingga hari ini (Sabtu) bagi memberi penjelasan berhubung kenyataannya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 bukan atas tiket PKR.

Fuziah ketika mengulas mengenai notis berkenaan berkata sehingga beliau hadir ke program berkenaan pihaknya masih lagi belum menerima jawapan daripada Rafizi, bagaimanapun beliau mempunyai tempoh sehingga tengah malam ini untuk berbuat demikian.

Ketika ditanya apa implikasi sekiranya Rafizi tidak menjawab surat berkenaan, Fuziah berkata notis itu adalah berkaitan keanggotaan Ahli Parlimen Pandan.

“Hasrat keluar parti kalau dibaca sebagai ‘substantif’ keluar parti walaupun tak ada surat ia punya implikasi besar sebab ia boleh mengakibatkan gugurnya keanggotaan, gugurnya keanggotaan boleh mengakibatkan gugurnya sebagai ahli parlimen. Jadi, sebab itu saya bagi peluang untuk jawab apa hasrat beliau sebenarnya,” katanya.

Pada Khamis lepas, Rafizi mengesahkan menerima notis tunjuk sebab daripada PKR atas alasan beliau mengisytiharkan keluar parti.

— BERNAMA – 28/2/2026

Rafizi diberi tempoh hingga hari ini (Sabtu) jawab surat tunjuk sebab – Fuziah

Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli diberi tempoh sehingga esok (hari ini,Sabtu) untuk memberi penjelasan berhubung kenyataannya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bukan atas tiket PKR.

Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh berkata parti itu telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Rafizi pada 23 Feb lepas dan diberi tempoh selama lima hari untuk memberikan jawapan.

“Dia kata akan bertanding PRU16 bukan atas tiket PKR, ia mungkin menimbulkan persepsi sama ada dia berhasrat untuk keluar daripada parti, jadi surat tunjuk sebab itu bagi peluang dia menjelaskan… sebab kami tidak mahu ambil tindakan begitu sahaja, sebaik-baiknya kami ikut perlembagaan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Rahmah MADANI di pekarangan Mydin Tunjong di Kota Bharu hari ini.

Fuziah berkata PKR tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru tanpa mendengar penjelasan daripada Bekas Menteri Ekonomi itu.

“Pada 1 Mac ini, kami akan adakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat, keputusan terhadap Rafizi pula, Insya-Allah… tengok macam mana,” katanya.

Semalam, Rafizi mengesahkan menerima surat tunjuk sebab daripada PKR atas alasan beliau telah mengisytiharkan keluar parti. – BERNAMA – 27/2/2026

Rafizi nafi sudah isytihar keluar PKR..

Semua orang cukup sedia maklum mengenai tindak tanduk Datuk Seri Rafizi Ramli kebelakangan ini yang bikin suhu politik panas.

Terbaru timbul kontroversi gara-gara bekas Timbalan Presiden PKR itu ‘buka cerita’ beliau rancang untuk bertanding kerusi Parlimen kawasan Pandan yang diwakilinya sekarang pada pilihanraya umum akan datang…bukan atas tiket PKR.

Akibatnya bekas Menteri Ekonomi itu telah terima surat tunjuk sebab dari ibupejabat parti yang didakwa tafsir kenyataan itu sebagai beliau mengisytiharkan keluar daripada parti.

Surat tunjuk sebab dari Setiausaha Agung PKR Datuk Fuziah Salleh dikatakan dihantar kepadanya pada 23 Februari.

Jika benar…mengikut Akta Lompat Parti maka kedudukan seseorang sebagai Ahli Parlimen akan terlucut.

Sebaliknya mereka yang kena tindakan dipecat daripada parti kekal sebagai Ahli Parlimen.

(Contoh terbaru ialah bekas Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin kekal sebagai Ahli Parlimen Larut sekalipun dipecat sebagai ahli Bersatu.)

Pada Ahad, Rafizi dilaporkan memberitahu akhbar Sin Chew, beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada PRU16, namun kemungkinan besar bukan sebagai calon PKR.

Beliau bagaimanapun enggan dedah perancangannya secara terperinci, hanya menegaskan tidak akan menyertai mana-mana ‘kuasa ketiga’, menubuhkan parti baharu, mahupun bekerjasama dengan bekas ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Menerusi kenyataan di media sosial pada Khamis Rafizi mendakwa beliau cuba ditekan untuk keluar sendiri dari parti yang boleh akibatkan gugur sebagai Ahli Parlimen.

Rafizi kata kenyataannya itu hanyalah perancangan apabila Dewan Rakyat dibubarkan untuk PRU16 nanti dan waktu itu beliau tidak lagi terikat dengan Akta Anti-Lompat Parti.

“Setelah saya tidak lagi menjadi Ahli Parlimen, memang terpulang kepada saya nak buat apa.

“Selagi saya Ahli Parlimen dan saya tidak menghantar surat keluar dari parti, atau saya tidak mengisytiharkan saya telah menyertai parti lain, maka saya kekal sebagai anggota PKR dan Speaker tidak boleh memecat saya dari Parlimen,” katanya.

Rafizi berkata beliau akan membalas surat tunjuk sebab yang dihantar padanya.

“Saya akan balas dan jelaskan seperti ini kepada Fuziah Salleh dan PKR.

“Lepas itu, kamu nak buat apa pun buatlah. Sebab saya yakin Allah melihat semuanya,” katanya.- 26/2/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.