TAHUKAH ANDA

Anwar kecam pembunuhan Khamenei

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, sambil menyifatkan tindakan itu meletakkan Asia Barat di ambang ketidakstabilan serius dan berpanjangan.

Dalam kenyataan di Facebook, Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada Republik Islam Iran dan rakyatnya atas kehilangan pemimpin tertinggi negara itu.

Jelasnya, tindakan menyasarkan ketua negara secara sengaja mewujudkan duluan berbahaya serta melemahkan norma dan prinsip yang menjadi asas kepada sistem antarabangsa.

“Ancaman bersifat eksistensial jarang menghasilkan reaksi yang boleh dijangka,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menggesa pihak berkuasa Iran supaya bertindak dengan penuh kekangan dan tidak memburukkan lagi keadaan.

Perdana Menteri berkata, keutamaan negara ketika ini ialah kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Iran, negara-negara Teluk serta rantau Asia Barat.

Menurutnya, kerajaan sedang mengambil segala langkah perlu bagi memastikan perlindungan rakyat Malaysia, dengan perwakilan negara di kawasan terjejas diberi mandat dan sumber sepenuhnya untuk membantu.

Anwar turut memaklumkan kerajaan akan segera menilai kesan ekonomi susulan konflik itu, termasuk risiko terhadap ruang udara serantau dan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.

“Perdagangan dan keselamatan tenaga Malaysia terlibat secara langsung, dan kita akan bertindak sewajarnya bagi melindungi kepentingan negara,” katanya.

“Krisis ini tidak boleh diselesaikan dengan kekerasan. Ia memerlukan diplomasi dan iltizam politik,” katanya.-2/3/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button