
PM kata tak terima atau tolak cadangan tubuh RCI isu saham Azam Baki….’kita tengok dulu’
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beritahu Dewan Rakyat beliau akan teliti dulu laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sebelum memutuskan tindakan lanjut termasuk cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) .
Katanya laporan itu dijangka siap dalam minggu ini.
“Tentang cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja, bagi kita agak pramatang, terlalu awal. Pertama, siasatan yang diketuai oleh Peguam Negara itu akan siap minggu ini, dalam beberapa hari.
“Jadi kita tengok dulu, apakah kemunasabahan dan rasional untuk melanjutkan serta dalam bidang apa yang perlu diteliti. Jadi saya tidak menerima atau menolak. Biarlah kita ikut prosesnya.
“Pertama, mendapatkan laporan daripada Peguam Negara yang tidak akan tertangguh kerana beliau memaklumkan kepada saya laporan akan disediakan dalam tempoh satu hingga dua hari ini. Kemudian, kalau ada rasional untuk melanjutkan, itu kita akan lanjutkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan V. Ganabatirau (PH-Klang) mengenai cadangan supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat kes pemilikan saham Azam Baki.
Kerajaan pada 13 Februari lalu mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam Baki. -3/3/2026



