
“Yang mahu salahkan pembangkang ini pasal apa?” – kata Hamzah
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menuding jari kepada ahli Parlimen kerajaan atas kegagalan dapat kelulusan Dewan Rakyat semalam untuk Rang Undang-undang (RUU) mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.
Beliau menegaskan pada sidang media di Parlimen hari ini apa yang perlu dipersalahkan adalah Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir menyokong RUU itu sedangkan blok kerajaan sudah memiliki sokongan 154 Ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Larut itu menasihatkan kerajaan supaya membuat persiapan lebih awal termasuk menemui dan menghubungi kesemua Ahli Parlimen mereka untuk memastikan kehadiran penuh dalam dewan, terutama ketika proses undian berlangsung.
“Kamu (kerajaan) sudah ada jumlah yang besar, 154 (Ahli Parlimen) adalah penyokong kerajaan. Kalau nak buat undang-undang yang dapat memastikan ada dua pertiga datang mengundi, kena panggil seorang-seorang Ahli (Parlimen) kerajaan.
“Kerajaan tanya… eh, kamu ada, kamu sakit ke, kamu dalam hospital ke, kamu macam mana, dalam trafik jem, semua itu kena tanya. Jadi, katalah dia (dalam) trafik jam, kita hantar nota pada menteri, minta menteri panjangkan sikit (ucapan perbahasan dan gulung), sebab ada dua, tiga orang tak sempat datang.
“Saya nak mengajar kerajaan, bukan nak sekolahkan tetapi saja-saja nak mengajar. Supaya perkara ni nanti tak timbul lagi. Kami mahu supaya rakyat faham bahawa pembangkang adalah satu-satunya kumpulan yang bersedia menyokong kalau perkara (RUU) itu baik,” katanya.
RUU itu semalam gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong yakni kurang dua undi dari jumlah 148 yang wajib.
Seramai 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali, selepas ia dibahaskan oleh 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
“Yang mahu salahkan pembangkang ini pasal apa? Kalau tengok daripada ucapan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, semuanya mengatakan kami bersetuju tetapi dengan syarat.
“Kalau syarat itu tidak diambil kira, maka bermakna bukan kita tolak, kita berkecuali. Semua kita tidak mengundi. Ada yang keluar dewan, ada yang tidak mengundi. Jadi nak salahkan kenapa?
“Sebab daripada awal lagi kita sudah maklumkan perkara ini. Apa yang jadi masalahnya adalah Ahli Parlimen kerajaan yang tidak mengundi, itu yang patut disalahkan. Kerana kerajaan mempunyai undi untuk mempertahankan usul mereka, bukan nak menyalahkan pembangkang yang berkecuali,” katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen PKR Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan dakwaan beliau tidak menyokong RUU berkenaan.
Ahli Parlimen Pandan dan bekas Menteri Ekonomi itu tampil memberi penjelasan selepas timbul tuduhan kononnya beberapa wakil rakyat kerajaan tidak hadir atau enggan menyokong usul berkenaan ketika ia dibahaskan di Dewan Rakyat.
Dakwaan tersebut turut dibangkitkan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
“Bukan saya! Saya dan rakan-rakan mengundi menyokong tadi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, sekali gus menepis spekulasi yang tular di media sosial.
Menurut beliau, sokongan terhadap had tempoh jawatan Perdana Menteri tidak pernah menjadi isu.
Sebaliknya, perkara yang dibangkitkan olehnya bersama beberapa ahli Parlimen PKR lain ialah keperluan memperhalusi satu lagi pindaan Perlembagaan yang melibatkan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Rafizi menjelaskan pindaan itu, yang dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, perlu diteliti secara menyeluruh kerana ia menyentuh soal kuasa pendakwaan yang besar dan implikasinya terhadap sistem keadilan negara.
“Yang kami mahu, RUU dipinda yang satu lagi supaya Pendakwa Raya yang sangat berkuasa dikawal selia oleh Parlimen juga,” katanya.
Minggu lalu, beliau bersama sembilan ahli Parlimen PKR mengadakan sidang media di Parlimen bagi menyuarakan pandangan supaya RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 tidak diluluskan secara tergesa-gesa.
Mereka berpendapat jawatankuasa khas perlu mendapatkan pandangan merentas parti untuk memastikan setiap pindaan dibuat dengan teliti dan mengambil kira kepentingan awam.
Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun sebelum ini dilihat sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi yang dijanjikan kerajaan.-3/3/2026



