SUARA PEMBACA
Veteran UMNO bantah cadangan DAP adakan pilihanraya PBT

KENYATAAN MEDIA VETERAN UMNO MALAYSIA:
- Veteran UMNO Malaysia kesal dengan kenyataan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai yang mahukan kerajaan melaksanakan pilihanraya Pihak Berkuasa (PBT). Keputusan itu yang dicapai dalam Konvensyen DAP Kuala Lumpur menyarankan supaya ianya bermula dengan Kuala Lumpur.
- Veteran UMNO berpendapat tidak ada keperluan untuk mengadakan pilihanraya PBT ini. Struktur yang sedia ada didalam pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah cukup. Kita sudah ada wakil rakyat yang dipilih rakyat dalam pilihanraya bagi mewakili kesemua kawasan parlimen dalam Kuala Lumpur. Kita ada ahli majlis yang dilantik mewakili semua kaum untuk membantu Dato Bandar. Jadi untuk apa perlukan pilihanraya lagi?.
- Veteran UMNO faham hasrat DAP itu untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai PBT yang diwakili oleh ahli-ahli yang mewakili kaum Cina, khususnya DAP. Sudah pastinya kalau pilihanraya itu diadakan maka wakil-wakil masyarakat Cina akan menang mudah dikawasan majoriti mereka. Sekiranya pilihanraya ini dibenarkan di Kuala Lumpur, maka nanti akan ada tuntutan untuk PBT di Pulau Pinang, Ipoh, Kelang, Melaka, Johor Bharu dan lain-lainnya.
- Nampaknya DAP masih terbawa-bawa dengan idealism lamanya dengan desakan-desakan yang berbau perkauman. Seperti juga dengan apa yang disuarakan oleh Lim Kit Siang mengenai PM dari kaum bukan Melayu.
- Veteran UMNO berharap kepimpinan baharu DAP akan dapat membendung cara berfikir Pengerusi DAP Kuala Lumpur ini. Jangan ada lagi sebarang usaha untuk membakar dan menyemarakkan rasa benci dan perkauman diantara parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan. Jangan sampai desakan seperti itu boleh ditafsirkan sebagai mencabuli 3R yang boleh membawa padah.
Sekian.
DATUK HJ MUSTAPHA YAAKUB
PENGERUSI
17/12/2023