
Ada RM13 billion wang tidak dituntut direkod Jabatan Akauntan Negara
Jumlahnya bukan sedikit…ia melibatkan wang berjumlah RM13 billion.
Itulah angka jumlah wang yang tidak dituntut sehingga 31 Januari tahun ini yang direkodkan oleh Jabatan Akauntan Negara.
Hal ini diberitahu Akauntan Negara, Datuk Zainani Jusoh pada sidang media di Tanah Merah Sabtu.
Menurutnya RM7 bilion kekal dalam akaun amanah tidak dituntut manakala selebihnya sudah dilaraskan dalam akuan hasil disatukan kerana tidak dituntut oleh pemilik atau waris dalam tempoh 10 tahun.
“Sekiranya ada permohonan tuntutan daripada akaun hasil disatukan, pembayaran balik melalui peruntukan bayaran balik hasil boleh dibuat.
“Kita ingin tegaskan bahawa JANM tidak pernah melantik mana-mana ejen atau wakil untuk mendapatkan wang tidak dituntut bagi pihak penuntut.
“Saya sarankan semua penuntut supaya melakukannya sendiri sama ada secara dalam talian atau hadir ke kaunter di semua pejabat akauntan negara atau cawangan di seluruh negeri,” katanya.
Terdahulu beliau menyempurnakan perasmian Kampung Angkat MADANI JANM di Kampung Bukit Merah di Masjid Al-Iktikaf Ibnu Sina.
Wang tidak dituntut terbahagi kepada tiga kategori mengikut Akta WTD 1965.
Kategori A membabitkan wang yang perlu dibayar dari sisi undang-undang kepada empunya tetapi tidak dibayar dalam tempoh satu tahun seperti gaji, bonus, komisen, dividen atau tuntutan insurans.
Kategori B merujuk kepada wang dalam kredit akaun yang tidak dikendalikan oleh pemilik dalam tempoh lebih dari tujuh tahun seperti simpanan bank dan deposit.
Kategori C membabitkan wang dalam akaun dagangan yang tidak dikendalikan dalam tempoh dua tahun.
Zainani berkata, pihaknya sentiasa aktif membuat hebahan mengenai wang tidak dituntut kepada orang ramai menerusi pelbagai program anjuran kerajaan di seluruh negara.
Katanya, sebuah bas bergerak turut disediakan sebagai kaunter bagi memudahkan orang ramai menguruskan proses wang tidak dituntut.
“Khidmat bas bergerak ini digunakan sejak tahun lalu dan dilengkapi kemudahan bagi memeriksa serta membuat tuntutan di setiap pelosok negeri.- 7/3/2026



