
Kes pijak al-Quran: MCMC sedang kesan ‘Dickie Borneo’
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengesan ‘Dickie Borneo’ yang sebar tindakan biadab seorang individu memijak al-Quran.
Dalam satu kenyataan MCMC kata semakan awal mendapati hantaran asal berkenaan sudah dipadam dan akaun yang terlibat dipercayai menggunakan nama Dickie Borneo tidak dapat dikesan, namun siasatan lanjut akan diteruskan.
Menurutnya perbuatan itu bukan sahaja menghina agama Islam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
MCMC turut memaklumkan hasil pemantauan lanjut mengenal pasti beberapa hantaran lain yang mengandungi unsur penghinaan agama dipercayai melibatkan individu sama dalam sebuah kumpulan media sosial, dengan semua kandungan berkaitan dipelihara sebagai bahan bukti bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
MCMC kini sedang bekerjasama dengan platform media sosial bagi mendapatkan maklumat pemilik akaun untuk mengenal pasti individu terlibat. MCMC turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan tegas dan segera dapat diambil.- 11/3/2026



