TAHUKAH ANDA

LTAT umum dividen 5.35 peratus, tertinggi dalam tempoh lapan tahun

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.35 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dengan agihan berjumlah RM524.74 juta.

Pengagihan dividen itu meningkat berbanding RM514.20 juta yang dibayar pada tahun 2024, sekali gus tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dana rizab LTAT meningkat kepada RM1.31 bilion pada 2025 berbanding RM1.01 bilion pada tahun sebelumnya.

“Walaupun berdepan cabaran ekonomi global, LTAT berjaya mengekalkan kedudukan kewangan yang stabil dengan merekodkan jumlah pendapatan boleh diagihkan sebanyak RM541.5 juta serta pendapatan pelaburan berjumlah RM749.5 juta.

“Kementerian Pertahanan akan terus memantau perkembangan LTAT bagi memastikan segala usaha yang dilaksanakan mampu memberikan pulangan terbaik kepada para pencarum,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2025, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman, Panglima Angkatan Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Nurazlan Aris.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan pengumuman dividen itu mencerminkan prestasi kewangan LTAT yang semakin kukuh hasil usaha transformasi yang dilaksanakan.

“Pengumuman ini pastinya membawa berita gembira kepada semua pencarum dan sekali gus memperkukuhkan keyakinan anggota ATM bahawa simpanan persaraan mereka berada di tangan yang selamat dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Beliau menambah, LTAT akan terus memperkukuh portfolio pelaburannya dengan setiap pelaburan diteliti secara rapi selain memperbaiki kelemahan serta memperkukuh tadbir urus syarikat di bawah Kumpulan LTAT.

Untuk rekod, pengisytiharan dividen tersebut menandakan tahun keempat berturut-turut LTAT mencatatkan pulangan dividen sekurang-kurangnya lima peratus.-12/3/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button