
Dasar WFH tidak libatkan sektor pendidikan, kesihatan awam
Perbincangan laporan awal berkenaan dasar bekerja dari rumah (WFH) bagi perkhidmatan awam setakat ini tidak melibatkan sektor pendidikan dan kesihatan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu kerana kedua-dua sektor berkenaan adalah kritikal dan dikategorikan sebagai barisan hadapan .
Menurut Fahmi, perkara itu berdasarkan laporan awal yang dibentangkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar melalui Majlis Tindakan Ekonomi dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Jemaah Menteri hari ini menerima laporan awal daripada Ketua Setiausaha Negara yang disediakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) mengenai pelaksanaan dasar bekerja dari rumah bagi sektor awam.
“Kabinet meminta supaya beberapa perkara diteliti dengan lebih rapi dan dibentangkan semula untuk keputusan lanjut dalam Majlis Tindakan Ekonomi selepas Aidilfitri,” katanya pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Sebelum ini Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan sedang meneliti secara serius pelaksanaan semula dasar bekerja dari rumah bagi sektor awam bagi mengurangkan beban perbelanjaan fiskal susulan konflik berlarutan di Asia Barat.
Inisiatif tersebut kata beliau merupakan sebahagian daripada langkah yang sedang dipertimbangkan untuk mengimbangi implikasi kenaikan subsidi petrol dan diesel yang kini mencecah tambahan RM2 bilion.
Beliau berkata, pendekatan itu bukan sahaja mampu membawa penjimatan kepada kerajaan daripada sudut kos operasi, malah dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga tanpa menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan.-18/3/2026



