FOKUS

Penjelasan Menteri Pertahanan mengenai kehadiran dua kapal perang Amerika di Pelabuhan Pulau Pinang

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Rabu memberi penjelasan mengenai kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16) di North Butterworth Container Terminal (NBCT), Pulau Pinang dari 14 hingga 16 Mac yang mencetuskan tandatanya.

Beliau beritahu kehadiran dua kapal itu merupakan persinggahan sementara bagi tujuan logistik.

Katanya kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia bukan perkara baharu dan telah lama menjadi amalan dalam hubungan pertahanan serta pelayaran antarabangsa.

“Ia merupakan sebahagian daripada aktiviti diplomasi pertahanan yang bertujuan meningkatkan keyakinan serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah negara,” katanya.

Menurut Khaled Malaysia mempunyai prosedur dan dasar yang jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan komersial atau pangkalan laut.

“Setiap permohonan untuk berlabuh perlu dikemukakan melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, persinggahan seperti itu turut berlaku secara berkala melibatkan kapal tentera laut dari pelbagai negara yang melalui perairan negara sama ada di Selat Melaka atau Laut China Selatan.

Jelasnya, ia termasuk bagi tujuan eksesais dua hala atau pelbagai hala serta pelaksanaan misi antarabangsa dalam memastikan kestabilan serantau dan keamanan sejagat seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sepanjang tahun 2025, Malaysia menerima sebanyak 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara melalui persinggahan pelabuhan.

Antara negara terlibat ialah Australia, Bangladesh, Britain, Brunei, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Kanada, Korea Selatan, Perancis, Singapura dan Amerika Syarikat.- 18/3/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button