
Rafizi nafi dakwaan terima sogokan RM9.5 juta dari Victor Chin
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, menafikan beliau adalah individu yang didakwa menerima RM9.5 juta dari ahli perniagaan, Victor Chin.
Terdahulu Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, tampil membuat penafian itu susulan pendedahan dan ancaman oleh Victor Chin untuk mendedahkan identiti individu berkenaan melainkan wang berkenaan dikembalikan kepadanya.
“Bukan saya. Kecoh pasal Ahli Parlimen PKR terima RM9.5 juta dari Victor Chin.
“Terima lemak di perut bahana raya, ya. Terima RM9.5 juta, tidak,” selorohnya dalam hantaran di laman Facebook, tadi.
Tambahnya lagi, dalam isu berkenaan adalah bahaya apabila pihak berkuasa mengetahui dan mengambil tindakan.
Bagaimanapun katanya, tindakan itu sendiri didakwa memudahkan penjenayah.
“Pada tahap ini, ia bukan lagi soal menutup mata. Ia sudah masuk ke tahap persengkongkolan.
“Sebab itu apabila Victor Chin mengatakan supaya siasatan tidak tertumpu kepada dirinya sahaja, tetapi turut membabitkan pihak lain, termasuk yang didakwa menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) untuk menekan, perkara ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Tegasnya, perkara itu bukanlah tuduhan kecil.
“Ia adalah dakwaan bahawa ada pihak dalam sistem yang sepatutnya membanteras jenayah, tetapi didakwa menjadi sebahagian daripada ekosistem.
“Apabila nilai kegiatan haram mencecah puluhan bilion, perlindungan kecil tidak lagi mencukupi. Mereka memerlukan pengaruh, kedudukan dan individu yang mampu membuka jalan. Di sinilah politik mula terbabit,” katanya.
Tambahnya, perkara berkenaan tidak membabitkan satu atau dua nama.
“Ini tentang bagaimana wang haram, penguatkuasaan, dan politik boleh bercampur dalam sistem yang sama.
“Apabila itu berlaku, negara menjadi terlalu mudah dikompromikan,” katanya.-25/3/2026



