
Madani Mart bukan ciplak KR1M…rancang buka 640 cawangan seluruh negara
Cawangan pertama Madani Mart di Indera Mahkota dekat Kuantan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Kemudian beliau meluangkan masa melawat sekitar kedai runcit berkenaan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.
Langkah ini yang diterajui Yayasan MADANI adalah antara inisiatif strategik kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat serta menangani cabaran kos sara hidup secara menyeluruh.
Ikut rancangan sebanyak 640 premis Madani Mart hendak dibuka di seluruh negara dalam tempoh dua tahun.
Sementara itu dalam sidang akhbar selepas majlis perlancaran Dr Fuziah menolak sebarang dakwaan Madani Mart ‘ciplakan’ Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak pada 2011.
Beliau berkata untuk Madani Mart, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang modal bagi pembukaan cawangan pertama yang terletak di Indera Mahkota, Kuantan itu.
“Tak mungkin ciplak sebab dalam model terdahulu (KR1M), kerajaan keluar modal… kerajaan bayar capex (perbelanjaan modal), kerajaan bayar untuk kerja ubah suai, inventori, beli stok.
“Tapi di sini (Madani Mart) kerajaan tak keluar modal, kerajaan satu sen pun tak keluar modal, jadi lainlah modelnya.
“Ia bukan juga konsep francais kerana kalau francais, ia mengikat 100 peratus, tapi model ini fleksibel,” katanya.
Terdahulu, Fuziah dalam ucapannya di majlis itu berkata MADANI Mart bukan sekadar pelengkap, tetapi langkah seterusnya untuk memastikan manfaat harga rahmah dapat dirasai secara lebih konsisten, tersusun dan dekat dengan rakyat.
Pada masa sama, katanya, inisiatif itu juga memperluas peluang keusahawanan dalam ekosistem peruncitan yang lebih tersusun.
“Sasaran adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu MADANI Mart di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 640 premis di seluruh negara dalam tempoh dua tahun, ” katanya.
Menurutnya langkah itu penting untuk memastikan keterjangkauan barangan asas dapat dinikmati secara lebih meluas.
“Ini termasuk di kawasan luar bandar dan separa bandar. Saya yakin bahawa inisiatif ini akan memberi impak positif dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, ” katanya.- 3/4/2026



