Dicelah ketegangan dan situasi tidak menentu krisis Asia Barat sekarang Petronas telah muncul dengan khabar gembira.
Walaupun dikira kecil tetapi cukup bermakna.
Ingat tidak sebelum ini kerajaan beri jaminan bekalan bahan api dijangka bertahan hingga akhir Mei ini.
Pada Rabu menerusi satu kenyataan Petronas memberi jaminan bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesennya kekal mencukupi sehingga hujung Jun 2026.
Ini bermakna ada tambahan waktu sebulan lagi berbanding sebelumnya.
Dalam satu kenyataan itu Petronas memaklumkan pihaknya terus memantau dan mengurus rantaian bekalan secara aktif bagi memastikan semua stesen mempunyai stok yang mencukupi, walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran tenaga global ketika ini.
Situasi tersebut sebahagiannya dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada bekalan dan harga minyak dunia.
Krisis berpanjangan di rantau itu telah meningkatkan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga global, sekali gus mendorong negara pengeluar dan syarikat minyak utama mengambil langkah berjaga-jaga.
Petronas memainkan peranan besar dalam memenuhi keperluan tenaga domestik dengan membekalkan kira-kira separuh daripada permintaan bahan api negara melalui anak syarikatnya, Petronas Dagangan Berhad.
Selebihnya disokong oleh beberapa syarikat minyak lain yang turut beroperasi di Malaysia, menjadikan sistem bekalan negara lebih pelbagai dan berdaya tahan.
Menurut kenyataan itu, komitmen untuk memastikan bekalan bahan api yang stabil dan boleh dipercayai kekal menjadi keutamaan syarikat.
“Orang ramai digalakkan membeli bahan api secara berhemah mengikut keperluan harian dan mengelakkan pembelian berlebihan atau panik,” menurut kenyataan tersebut.
“Penggunaan secara bertanggungjawab akan membantu memastikan bekalan terus mencukupi untuk semua,” tambahnya lagi.
Jaminan ini dilihat penting dalam meredakan kebimbangan pengguna susulan laporan gangguan bekalan global, selain memastikan aktiviti ekonomi dan mobiliti rakyat tidak terjejas dalam tempoh mencabar ini.- 15/4/2026

