Harga minyak lebih murah… diesel turun 75sen, RON95, RON97 turun 25sen

Harga runcit baharu diesel di Semenanjung menyaksikan penurunan sebanyak 75 sen seliter mulai esok sehingga 22 April depan.

Kadar baharu yang diumumkan itu menyaksikan harga diesel di Semenanjung menurun kepada RM5.97 seliter berbanding RM6.72 seliter minggu sebelumnya.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan memaklumkan, harga bagi RON95 tidak bersubsidi dan RON97 turut menyusut sebanyak 25 sen seliter.

Menurut MoF, harga RON95 tanpa subsidi kini berada pada kadar RM4.02 manakala harga RON97 pula ditetapkan RM5.10 seliter sehingga 22 April.

Pada masa sama, MoF memberitahu, kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu.

Katanya, harga RON95 di bawah program BUDI95 kekal pada tahap RM1.99 seliter dan RM2.15 bagi diesel di Sabah, Sarawak serta Labuan setiap liter.

Harga Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) juga dikekalkan pada paras RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.

“Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), untuk minggu ini, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dan harga runcit petrol RON95 dan RON97 diturunkan berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.

“Dengan konflik di Asia Barat yang berlarutan, kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan semasa dan mengambil langkah bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api.

“Di samping itu, kerajaan juga terus melindungi rakyat serta sektor ekonomi daripada impak penuh gangguan rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Kerajaan tingkat bantuan BUDI Diesel

Sementara itu, MoF memaklumkan, kerajaan juga telah meningkatkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel kepada RM400 sebulan bagi bulan ini kepada 350,000 penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi dengan tambahan dana RM35 juta sebulan.

Kementerian itu menjelaskan, ia bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak global terhadap rakyat serta memastikan kelangsungan pengeluaran makanan dan rantaian bekalan.

MoF memberitahu, langkah itu merupakan peningkatan buat kali kedua susulan tekanan pasaran petroleum global selepas kenaikan daripada RM200 kepada RM300 pada Mac 2026.

Di samping itu, MoF memaklumkan, kadar Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar melibatkan dana tambahan sekitar RM40 juta dan memanfaatkan hampir 200,000 pesawah padi bagi membantu sektor agromakanan menghadapi kenaikan kos input.-16/4/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.