Presiden Donald Trump baru-baru ini telah bertindak mengkritik pandangan Pope Leo mengenai krisis Asia Barat…sebaliknya lain cerita pandangan Malaysia dan Australia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anthony Albanese telah bersuara mendokong seruan pemimpin umat Katholik Kristian itu untuk keamanan dan penamatan keganasan di Asia Barat.
Pendirian berkenaan disuarakan mereka dalam sidang akhbar bersama di Putrajaya Khamis sempena lawatan rasmi pemimpin Australia itu ke Malaysia.
Trump telah mengkritik Pope Leo dua kali dakwa beliau tidak tahu menahu mengenai tindak tanduk kerajaan Iran terhadap rakyat negara itu.
Anwar berpendapat sesiapa saja yang berfikiran waras akan dokong pandangan Pope Loe.
“Albanese beragama katholik dan saya Islam tetapi kami berkongsi hal yang sama:kami memandang tinggi dan hormati pada Pope Leo,”katanya.
Dalam pada itu Anwar menyambut baik pendirian Australia yang menggesa penamatan permusuhan di Gaza serta menyokong bantuan kemanusiaan terhadap rakyat Palestin.
Anwar menyifatkan pendirian itu sebagai langkah penting ke arah penyelesaian yang berkekalan.
“Saya menghargai pendirian Australia mengenai Gaza, yang menyeru agar permusuhan ditamatkan, menyokong bantuan kemanusiaan dan berusaha ke arah penyelesaian yang berkekalan. Pendirian itu amat bermakna dan Malaysia mengalu-alukannya,” kata Perdana Menteri.
Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus berpegang teguh kepada sokongan terhadap sebuah negara Palestin yang berdaulat walaupun keganasan masih berterusan di Gaza dan Tebing Barat.
Beliau berkata, gencatan senjata di Gaza masih belum diterjemahkan kepada kelegaan yang sangat diperlukan bagi orang awam, sambil menyatakan bahawa keganasan dan penderitaan terus berlanjutan walaupun usaha diplomatik masih diteruskan.
“Dunia tidak boleh mengalihkan pandangan dan membiarkan gencatan senjata terkubur begitu sahaja.
“Apa yang diperlukan oleh rakyat Palestin ialah penyelesaian yang adil dan berkekalan, dan ini bermaksud sebuah negara berdaulat yang berdaya maju. Malaysia tidak akan berganjak dalam perkara yang melibatkan prinsip ini,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa pendirian Malaysia terhadap Palestin berlandaskan prinsip, dengan menekankan keperluan kepada penyelesaian politik yang adil dan berkekalan yang menjamin hak serta keselamatan rakyat Palestin.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Albanese atas lawatan ke Kuala Lumpur serta menekankan kepentingan dialog berterusan dan kerjasama antara kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran global yang sentiasa berubah.
Beliau berkata Malaysia dan Australia akan terus memperkukuh hubungan dua hala menjelang Mesyuarat Tahunan Pemimpin Kali Keempat yang akan datang, yang dijadualkan berlangsung di Australia. – 16/4/2026

