Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan pengisytiharan yang dibuat oleh Datuk Mubarak Dohak berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah tidak sah dan tidak diiktiraf kerajaan negeri.
Beliau berkata, ia kerana Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungai Ujong, selepas diberhentikan mengikut adat dan peruntukan undang-undang.
Menurutnya, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan berperanan sebagai badan penasihat dalam perkara berkaitan adat istiadat orang Melayu, termasuk soal berkaitan pemilihan dan perlucutan jawatan Undang Luak yang empat seperti yang diperuntukkan dalam perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) (1959).
Ia juga termasuk dalam urusan pemberhentian seseorang undang luak daripada memegang pesaka mengikut adat luaknya mengikut Fasal 14 (3), UUTKNS.
“Pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra Luak Sungei Ujong telah dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025.
“Selanjutnya, Sidang Khas DKU pada 17 April 2026 telah bersetuju menasihat dan menerima kesepakatan Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong yang memberhentikan Datuk Mubarak Dohak sebagai
penyandang pesaka Dato’ Klana Petra Luak Sungei Ujong ke-10, selaras dengan peruntukan Fasal 14(3) UUTKNS di atas 33 kesalahan berkaitan pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong.
“Nasihat penerimaan oleh DKU terhadap pemberhentian penyandang pesaka Dato’ Undang Luak di Negeri Sembilan, juga pernah dilaksanakan sebelum ini apabila penyandang pesaka Undang Luak Johol Ke-14, Datuk Mohammad Jan Abdul Ghani diberhentikan pada 27 Mac 2016 atas 13 kesalahan berkaitan pesaka dan adat Luak Johol,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu katanya, tindakan Mubarak yang menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 19 April 2026 bertempat di Balai Undang Luak Sungai Ujong, tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf oleh Kerajaan Negeri.
Ini kerana beliau tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12, UUTKNS.-20/4/2026

