YANG VIRAL
77 peratus ibu bapa sokong umur minimum pengguna media sosial 16 tahun ke atas
Lebih 77 peratus golongan ibu bapa di negara ini menyokong pelaksanaan menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial.
Jumlah tersebut berdasarkan kajian global Family First yang diusahakan Varkey Foundation di 15 buah negara termasuk Malaysia.
Peratusan sokongan itu juga menyaksikan Malaysia merupakan negara tertinggi yang menyokong usaha melindungi kanak-kanak di ruang digital.
Ia diikuti ibu bapa di India iaitu sebanyak 75 peratus dan Argentina (55 peratus) manakala hanya 38 peratus ibu bapa menyokong penetapan had umur minimum 16 tahun di Jepun.
Kajian yang dijalankan antara Januari hingga Februari lalu itu merangkumi 15 negara iaitu Argentina; Australia; Brazil; Kanada; China; Perancis dan India.
Selain itu, ia juga melibatkan Jepun; Kenya; Malaysia; Nigeria; Sweden; Emiriah Arab Bersatu (UAE); United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Tinjauan tersebut melibatkan 6,002 ibu bapa dan 6,011 anak mereka berusia sembilan hingga 18 tahun.
Pada masa sama, ia turut melibatkan 3,000 datuk dan nenek kepada kanak-kanak dalam lingkungan umur yang sama serta 3,000 responden daripada Gen Z.
Di Malaysia, kajian itu mendapati 62 peratus kanak-kanak dan remaja turut menyokong inisiatif mengehadkan media sosial kepada golongan bawah 16 tahun.
Kadar yang tinggi itu berbeza dengan dapatan global menyaksikan hanya 37 peratus golongan kanak-kanak dan remaja yang menyokong.
Sementara itu, sebanyak 65 peratus Gen Z Malaysia turut menyokong pelaksanaan dasar berkenaan.
Perkembangan tersebut menyaksikan mandat jelas daripada masyarakat supaya Malaysia meneruskan pelaksanaan mengehadkan pembukaan akaun media sosial baharu bagi kanak-kanak bawah 16 tahun.
Langkah tersebut penting supaya golongan kanak-kanak dilindungi dariapda risiko digital sekali gus membantu perkembangan emosi yang lebih sihat kepada kanak-kanak.
Kerajaan dilapor akan meneruskan usaha mengehadkan pembukaan akaun media sosial baharu bagi kanak-kanak bawah 16 tahun dengan pelaksanaannya dijangka seawal pertengahan tahun ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan akan memberikan tempoh secukupnya kepada platform media sosial bagi melaksanakan langkah pembersihan termasuk memastikan tiada lagi kanak-kanak bawah usia berkenaan mendaftar akaun baharu atau mengekalkan akaun sedia ada dalam platform masing-masing.
Sebelum ini, MCMC memaklumkan pihaknya sedang meneliti pelbagai kaedah pengesahan umur sebelum pelaksanaan had usia 16 tahun bagi penggunaan media sosial dikuatkuasakan pada separuh kedua tahun ini.
Menurut MCMC, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan penyedia perkhidmatan media sosial seperti Meta, Google dan TikTok bagi menentukan kaedah bersesuaian.-21/4/2026

