Berita gembira untuk golongan OKU….

KUALA LUMPUR: Kalau sebelum ini golongan Orang Kurang Upaya (OKU) hanya diberi diskaun 50 peratus untuk tambang perjalanan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana)…mulai 1 Februari nanti…lain ceritanya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada Khamis umum tambang percuma semua perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan bas di Lembah Klang kepada semua pemegang kad OKU.
Menurut menteri itu tambang percuma ini adalah penambahbaikan berbanding pas konsesi sebelum ini yang menawarkan diskaun 50 peratus ke atas tambang perjalanan untuk penumpang OKU.
“Penambahbaikan yang kita laksana sentiasa mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh termasuk Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Mekanisme pelaksanaan tambang percuma untuk warga OKU, seperti kelayakan, terma dan syarat ini akan diumumkan oleh Prasarana dalam masa terdekat.
“Ini satu inisiatif penting walaupun ada implikasi kewangan kepada pihak prasarana kerana hasil (kutipan tiket) berkurang. Namun, saya minta supaya Prasarana bersetuju dengan inisiatif ini sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya dalam ucapan perasmian Projek Perintis Koc Wanita MRT laluan Kajang di Stesen MRT, Bandar Tun Hussein Onn, dekat Kuala Lumpur. -21/12/2023