Kutipan cukai langsung oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mencecah RM203.991 bilion pada tahun lepas, buat julung kali melepasi paras RM200 bilion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM19.19 bilion atau 10.38 peratus berbanding angka pada tahun sebelumnya.
“Hasil daripada prestasi kutipan yang lebih kukuh, kerajaan telah dapat memperuntukkan tambahan dana bayaran balik cukai sebanyak RM11.4 bilion kepada pembayar cukai syarikat yang telah tertunggak.
“Ia sekali gus menyelesaikan komitmen lampau secara lebih tersusun dan telus,” katanya dalam ucapan merasmikan majlis sambutan Hari LHDN ke-30 di Cyberjaya pada Jumaat.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar berkata, dalam dunia yang dilanda ketidaktentuan ketika ini, LHDN perlu terus memperkukuh keupayaan analitik dan pendigitalan, termasuk memperkasa penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan ketirisan dan memudahkan pematuhan.
“Dalam masa yang sama, perkhidmatan kepada rakyat dan perniagaan mesti terus dipermudah, dipercepat dan diperkemas.
“Matlamatnya bukan sekadar kutipan cukai yang lebih tinggi, maah juga sistem percukaian yang lebih adil, telus dan diyakini,” kata beliau.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin. – Bernama -25/4/2026

