Kini segala spekulasi mengenai siapa bakal mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah terjawab.
Kontroversi mengenai jawatan itu sendiri sudah berlegar sekian lama.
Penyandang jawatan itu ketika ini iaitu Tan Sri Azam Baki bakal menamatkan perkhidmatan pada 12 Mei ini.
Jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu mulai 13 Mei akan disandang oleh bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman .
Lantikan Abdul Halim itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan yang dikongsi di akaun media sosial beliau pada Sabtu.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mempersembahkan cadangan pelantikan itu kepada Sultan Ibrahim.
“Pelantikan itu selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
“Kerajaan menyatakan keyakinan bahawa pengalaman luas serta tahap integriti tinggi Abdul Halim mampu memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi berkenaan.
“Pelantikan itu juga dilihat sebagai langkah penting dalam memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara,” kata Shamsul Azri.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Anwar mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan cadangan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.- 25/4/2026

