Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa Datuk Seri Aminuddin Harun akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Anwar berkata, perkara itu dititahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, ketika beliau menghadap baginda semalam.
“Semalam saya menghadap Tuanku Muhriz dan menjunjung kasih atas pertimbangan baginda untuk pertamanya atas titah baginda supaya Aminuddin meneruskan tugas sebagai Menteri Besar demi kepentingan negeri dan kebajikan rakyat.
“Keputusan setakat ini, dengan titah Tuanku yang saya dengar semalam, kerajaan negeri harus berjalan seperti biasa sehingga ada keperluan untuk membawa apa-apa perubahan.
“Setakat ini saya telah minta Menteri Besar (Aminuddin) jalankan (tugas) seperti biasa dan proses undang-undang tidak menghalang, dan kita juga tidak menghalang proses undang-undang itu diteruskan dengan baik. Tidak menyentuh sama ada institusi Raja, atau Undang, kita muliakan,” katanya kepada pemberita selepas sesi Temu Anwar dan peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI di Kuala Lumpur hari ini. – Bernama – 28/4/2026

