Muktamad…ini pendirian UMNO Negeri Sembilan dalam isu kedudukan Menteri Besar

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menjadi tokoh yang paling mencuri perhatian dan buruan para wartawan semasa berlangsungnya Konvensyen 80 Tahun UMNO Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) gara-gara isu politik yang hangat di negeri itu sekarang.

Selepas berucap kepada konvensyen itu dimana beliau turut menghuraikan mengenai isu di Negeri Sembilan…Jalaluddin telah memberi jawapan kepada para wartawan mengenai satu persoalan besar.

Ini melibatkan soal pendirian UMNO Negeri Sembilan selepas semua 14 wakil rakyatnya baru-baru ini menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam ucapannya di konvensyen itu Jalaluddin mempertahankan keputusan 14 ADUN UMNO yang menarik balik sokongan mereka.

Kepada para wartawan beliau menegaskan mereka tidak akan ubah pendirian lagi dan ini adalah muktamad.

“Ini bukan pendirian yang berkaitan kepentingan politik, berkaitan dengan kuasa, ataupun ‘tebuk atap’. Ini berkaitan urus tadbir kerajaan yang menguruskan institusi adat dan raja di Negeri Sembilan,” tegasnya.

Jalaluddin juga menegaskan bahawa UMNO Negeri Sembilan tetap bersedia untuk menjadi sebahagian daripada pembangkang negeri sehingga pilihan raya negeri atau pilihan raya umum akan datang.

Katanya UMNO Negeri Sembilan mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” terhadap sebarang keputusan yang akan dibuat oleh pemimpin tertinggi parti, bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan kongsi dalam kerajaan, mengenai kedudukan menteri besar negeri.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata bahawa persoalan sama ada terdapat keperluan untuk melantik menteri besar Negeri Sembilan yang baru atau sebaliknya akan dibawa ke meja rundingan oleh kepimpinan BN dan PH.

Merujuk kepada perkara itu hari ini, Jalaluddin berkata, “Itu kita tunggu keputusan.

“Siapapun calon menteri besar yang diputuskan oleh pucuk pimpinan, itu keputusan pimpinan tertinggi BN dan PH. Itu bukan keputusan UMNO Negeri Sembilan. Maka kita akan tunggu dan lihat bila keputusan itu dibuat,” katanya.

Ditanya lebih lanjut sama ada UMNO Negeri Sembilan bersedia untuk menyokong menteri besar baru daripada PKR atau PH, Jalaluddin menegaskan sekali lagi mereka akan “tunggu dan lihat” dan persoalannya melangkaui politik, kuasa atau mana-mana individu.

“Yang menjadi persoalan adalah berkenaan tugas hakiki sebagai menteri besar itu tidak boleh membiarkan krisis ini sehingga berlaku seperti krisis di Negeri Sembilan.

“Apabila ia (krisis) berlaku, pelbagai persepsi yang buruk akan menjadi perbincangan di media sosial. Ia akan menjadi kefahaman yang berbeza di kalangan anak-anak muda hingga menjejaskan insitusi adat,” katanya.

Menurutnya, menteri besar itu telah melepasi “garisan merah” apabila berpihak dalam pertikaian diraja antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Undang Yang Empat.

Tambah Jalaludin, kegagalan menteri besar untuk menguruskan krisis ini juga telah mencemarkan imej institusi diraja Negeri Sembilan.

“Inilah antara titik tolak berlakunya krisis politik di Negeri Sembilan, apabila sebelah pihak melanggar garis merah yang ditetapkan, dan mengambil mudah perkara itu seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Isu penting yang sepatutnya dibawa berbincang dan mengambil tanggungjawab bersama diantara BN dan PH, dibuat secara sendiri sehingga mencalarkan imej Umno,” katanya.

Di depan perwakilan UMNO semua ,Jalaluddin yang merupakan Exco kerajaan negeri dan ADUN Pertang turut menyangkal tuduhan bahawa UMNO Negeri Sembilan mahu merampas kuasa daripada PH, atau ‘tebuk atap’.

Jalaluddin berkata 14 Adun Umno, termasuk empat ahli exco negeri, sentiasa menyokong kepimpinan Aminuddin dan dasar kerajaan negeri sejak mereka membentuk kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan.

“Jika UMNO mahu tebuk atap, UMNO telah lakukan lama dahulu. Rakan-rakan Adun di Negeri Sembilan boleh sahkan, tidak ada sebarang perbincangan awal untuk tebuk atap.

“Kalau UMNO mahu berkuasa, peluang itu sudah terhidang selepas PRN, tapi UMNO memilih bekerjasama dalam kerajaan perpaduan.

“Krisis hari ini hanya timbul setelah UMNO hilang keyakinan terhadap menteri besar apabila krisis adat dan perlembagaan ini gagal diurus dengan tertib,” katanya.- 2/5/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.