SUARA PEMBACA

Pilihanraya PBT : Kepentingan ideoloji dan politik kepartian DAP ,bukan agenda nasonal

PAS memandang serius perkembangan mutakhir dalam naratif politik tanah air,
terutamanya yang melibatkan pemimpin veteran DAP kerana mendapati ia
sangat tidak wajar dan berpotensi mencetuskan ketegangan serta suasana
tidak harmoni dalam masyarakat.

Selain itu, hakikat bahawa ia dibangkitkan oleh pemimpin kanan sebuah parti
yang merupakan komponen kerajaan juga menimbulkan kecelaruan dan syak
wasangka terhadap dasar dan hala tuju kerajaan sendiri, sekali gus menghakis
tahap kebolehpercayaan terhadap kepimpinannya.

Naratif terbaru yang dibawa DAP adalah gesaan Pengerusi DAP Kuala Lumpur
yang juga Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai supaya kerajaan mengembalikan
semula Pilihan Raya Tempatan (Pilihan Raya PBT) bermula di Kuala Lumpur
ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan,
Ahad lepas.

Bagi menyokong gesaan itu, beliau antara lain dilaporkan berkata, “Pilihan
Raya PBT sudah lama tertangguh, prinsip ‘tiada cukai tanpa perwakilan’ perlu
ditegakkan demi memastikan keberkesanan, bersih dan kerajaan
berorientasikan rakyat bagi menjadikan Kuala Lumpur bandar raya bertaraf
dunia yang kita semua banggakan”.

Terdahulu pada 29 November di Manchester, England, Penasihat DAP Tan Sri
Lim Kit Siang mencetuskan kegemparan yang serupa apabila berucap kepada
pelajar Malaysia di sana tentang Perdana Menteri bukan Melayu serta impian
sebuah negara hebat yang berbilang kaum, budaya dan kepercayaan, bukan
negara etnik tunggal.

Berbeza dengan Lim yang menyebut bahawa ucapannya itu hanyalah
pernyataan fakta, bukan realiti, Tan tidak pula meletakkan caveat kepada
gesaannya itu walaupun Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor
MIng ketika menjawab pertanyaan di Parlimen pada awal tahun ini telah
menegaskan bahawa Pilihan Raya PBT bukanlah keutamaan kerajaan pada
masa ini.
Sebagai bekas anggota kerajaan dalam pentadbiran Pakatan Harapan
sebelum ini, Tan seharusnya lebih peka dan sensitif terhadap pendirian dan
dasar kerajaan semasa, bukan sebaliknya, kecualilah kenyataan itu juga
merupakan suatu sandiwara DAP dan Nga turut memegang watak penting.

Jika diteliti lebih dekat, walaupun kedua-dua kenyataan Tan dan Lim dihiasi
dengan kata-kata dan idea muluk tentang negara atau bandar raya hebat
bertaraf dunia, multiculturism, demokrasi, kecekapan pentadbiran dan
sebagainya, namun gesaan Tan ternyata bercanggah dengan penolakan Lim
terhadap citra politik etnik tunggal yang menjadi teras kepada impian Perdana
Menteri bukan Melayu penasihat DAP itu.

Dengan penguasaan hampir mutlak kerusi-kerusi Parlimen di Kuala Lumpur
oleh DAP, maka tidakkah Pilihan Raya PBT juga akan hanya menzahirkan citra
politik etnik tunggal dari segi perwakilan yang akan dipilih kelak?

PAS beranggapan kedua-dua kenyataan Tan dan Lim jelas bermotifkan
pengukuhan kedudukan dan penguasaan DAP ke atas hala tuju dan perjalanan
negara dengan mengabaikan sisi-sisi teras yang selama ini mengikat semua
pihak pada agenda dan budaya politik yang lebih waras, sederhana dan
munasabah.

Ini semakin mengesahkan kebimbangan banyak pihak, terutamanya orang
Melayu terhadap niat sebenar DAP dan sama ada ia jujur dalam menjunjung
kepentingan dan keutamaan nasional atau hanya mengutamakan kepentingan
ideologi dan parokialismenya.

Perlu diingat bahawa keputusan kerajaan terdahulu memansuhkan pilihan raya
di seluruh negara sejak lebih 50 tahun lepas yang dengan jelas termaktub
dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 antara lain bertujuan untuk menghindari
penguasaan Kerajaan Tempatan oleh satu-satu kumpulan etnik bagi menutup
kemungkinan berlakunya ketegangan dan ketidakharmonian kaum dalam
masyarakat.

PAS percaya hikmah dan tujuan penting keputusan itu masih terpakai dan perlu
pada hari ini, sekali gus menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
supaya mengawal dan menghentikan naratif beracun seperti ini kerana mereka
yang melupakan sejarah hanya akan mengulanginya.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh : 19 Disember 2023

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button