DAP arah jentera bersiap hadapi kemungkinan pilihan raya di tiga negeri…

DAP mengarahkan seluruh jentera parti untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan pilihan raya mengejut di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, ia sebagai persiapan sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri tersebut dibubarkan dalam masa terdekat.

Pada masa sama, katanya, DAP akan terus mendukung dan memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

“DAP tidak akan bersetuju dengan apa-apa cadangan pertukaran Menteri Besar pada ketika ini selepas cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan sedia ada gagal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Loke turut menegaskan bahawa DAP sentiasa menghormati dan menjunjung institusi raja berperlembagaan.

Untuk itu, ujarnya, segala isu yang melibatkan institusi raja dan Adat Pepatih perlu diselesaikan dengan penuh hormat serta tertib mengikut lunas Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri.

“DAP menjunjung kasih ke bawah DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di atas titah Tuanku supaya kerajaan negeri terus befungsi seperti biasa di bawah pentadbiran YAB Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun,” katanya lagi.-5/5/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.