UMNO Negeri Sembilan hormat kerjasama dengan PH, tapi kekal tolak Aminuddin

UMNO Negeri Sembilan menghormati keputusan pucuk pimpinan untuk mengekalkan kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor berkata, ia seperti mana yang diputuskan di dalam Biro Politik UMNO dan Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan.

Katanya, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Barisan Nasional (BN) juga akan menjalankan tanggungjawab seperti biasa, malah terus memberi fokus, memperhebatkan khidmat bakti kepada rakyat dan memastikan kebajikan mereka diberi perhatian sewajarnya dari semasa ke semasa.

“Kami kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun di atas kegagalan menguruskan krisis terburuk yang pernah berlaku di negeri ini sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, UMNO Negeri Sembilan juga berharap krisis berkaitan kepimpinan adat di Negeri Sembilan ketika ini akan dapat diselesaikan dengan baik, harmoni, mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan mengikut tatacara adat yang sebenarnya.

Katanya, UMNO Negeri Sembilan juga menyeru agar rakyat dapat menghormati segala proses yang sedang berlaku, tidak memberikan sebarang komen yang berbentuk provokatif apatah lagi menghina Institusi Adat di Negeri Sembilan.-7/5/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.