117 ditahan berkait pedofilia, lebih 1.4 juta fail pornografi dirampas

Sebanyak 117 individu berkaitan aktiviti pedofilia dan eksploitasi seksual kanak-kanak ditahan dalam tempoh dua tahun, manakala lebih 1.4 juta fail digital pornografi dirampas menerusi operasi bersama pihak berkuasa.

Data hasil operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh 2024 hingga 2026 itu mendedahkan ancaman eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian semakin membimbangkan.

Sumber yang terlibat dalam operasi itu menyifatkan penemuan berkenaan sebagai ancaman serius terhadap keselamatan kanak-kanak.

“Apabila lebih 200,000 kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak berjaya dikesan dan lebih 100 pedofil ditahan dalam tempoh dua tahun, ini bukan lagi isu kecil,” katanya.

Perkembangan itu turut menghidupkan semula desakan supaya mekanisme pengesahan umur bagi pengguna media sosial, khususnya bawah 16 tahun, dilaksanakan dengan lebih tegas.

Penyokong langkah itu berkata pengesahan umur perlu dilihat sebagai instrumen perlindungan, bukan sekatan terhadap akses teknologi.

Mereka berhujah platform digital kini menjadi ruang utama yang mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan pornografi ekstrem, eksploitasi seksual dalam talian, aktiviti “grooming” dan interaksi berisiko dengan individu tidak dikenali.

“Platform perlu lebih bertanggungjawab. Akses digital harus disesuaikan dengan umur,” menurut satu kenyataan yang disokong beberapa pertubuhan kebajikan kanak-kanak.

Langkah sama juga sedang dipertimbang atau dilaksanakan di beberapa negara termasuk United Kingdom, Australia dan beberapa negeri di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, pemerhati keselamatan siber berpandangan pelaksanaan semata-mata tanpa kerjasama platform digital tidak akan mencukupi.

Menurut seorang penganalisis dasar digital, banyak sistem kawalan sedia ada masih mudah dipintas dan tidak mampu menandingi taktik pelaku jenayah seksual kanak-kanak yang semakin canggih.

“Kita tidak boleh hanya menangkap pelaku selepas jenayah berlaku. Pencegahan perlu bermula lebih awal melalui sistem yang lebih bertanggungjawab,” katanya.

Isu keselamatan kanak-kanak dalam talian dijangka menjadi antara topik utama yang akan terus dibahaskan dalam forum awam dan perbincangan dasar tahun ini, termasuk berkaitan tanggungjawab kerajaan, platform digital dan ibu bapa dalam melindungi pengguna bawah umur.-11/5/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.