KEMBARA
Tiada penularan hantavirus di Malaysia… tapi KKM terus pantau rapat
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sedang melaksanakan pemantauan rapi situasi penularan hantavirus bagi mengelakkan risiko penularan ke negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, KKM sentiasa berhubung rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta organisasi kesihatan antarabangsa lain bagi mendapatkan perkembangan semasa wabak tersebut.
Menurut beliau, setakat ini kes dan kematian yang dilaporkan masih tertumpu di negara-negara Barat dan belum menunjukkan sebarang penularan di Asia.
“Kita akan terus memantau situasi ini dari semasa ke semasa dan memperkukuh kesiapsiagaan sekiranya perlu tindakan lanjut.
“Dengan hubungan rapat bersama WHO dan organisasi berkaitan, kita mendapati keadaan masih terkawal di negara-negara terlibat. Alhamdulillah, buat masa ini tiada indikasi ia akan merebak ke Asia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa dan Seminar Kejururawatan di sini, hari ini.
Sementara itu Hanifah Hajar berkata, negara jiran mula mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memperketatkan saringan kesihatan di pintu masuk utama, khususnya terhadap kapal persiaran yang berpotensi menjadi medium penyebaran.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pengalaman negara berdepan pandemik COVID-19 menjadi pengajaran penting untuk meningkatkan tahap kewaspadaan dan kesiapsiagaan kesihatan awam.
“Insya-Allah, kita akan pastikan situasi ini kekal terkawal dan tidak merebak,” katanya lagi.-13/5/2026

